Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menemui semua pemilik pasar raya di seluruh negara untuk meminta mereka memastikan pasar raya masing-masing mematuhi peraturan Gred, Pembungkusan dan Label (GPL), kata menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata pada pertemuan itu, yang akan diterajui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), pihaknya juga mahu mendapatkan maklum balas daripada pemilik pasar raya mengapa mereka tidak sukar mematuhi GPL.

"Kami akan mengkaji (GPL) dengan semua pihak. Pertama kita nak bincang dulu dengan pasar raya kenapa mereka berbuat demikian (tidak patuhi GPL)," katanya selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Terengganu di Dataran Kuala Kemaman hari ini.

Beliau mengulas kenyataan FAMA semalam bahawa ia mengeluarkan 340 surat amaran kepada pengeksport, pengimport, pemborong dan peruncit sayur-sayuran serta buah-buahan yang gagal mematuhi GPL di seluruh negara melibatkan tempoh penguatkuasaan GPL bermula pada 1 Julai 2013 hingga bulan lepas.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan FAMA Mohd Nawawi Harun berkata FAMA juga melakukan 22 penyitaan sementara di beberapa pasar raya di seluruh negara sejak Mac lepas kerana gagal mematuhi GPL.

Dalam pada itu, beliau meminta semua pasar raya membantu petani dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasarkan produk pertanian mereka yang mematuhi GPL.

Beliau berkata pihaknya mendapat laporan bahawa ada pasar raya yang 'menganaktirikan' produk pertanian tempatan walaupun ia mematuhi Peraturan GPL serta ditampilkan dengan pembungkusan cantik.

"Ada juga pasar raya yang hanya meletakkan produk itu di bahagian belakang premis selain lambat melunaskan bayaran kepada petani atau pemborong," katanya.

Ahmad Shabery turut menyarankan agensi dan persatuan nelayan agar menyediakan khidmat skim perlindungan insurans khusus untuk golongan nelayan pesisir pantai.

Beliau meminta agensi seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan nelayan supaya bekerjasama untuk menyediakan perkhidmatan itu.