EMPAT BELAS rakyat Malaysia telah disenaraikan di dalam 'Forbes Billionnaires List 2018' sebagai individu terkaya di dunia.

Buat kali ke-12, Tan Sri Robert Kuok mendahului sebagai individu paling kaya di Malaysia, dengan aset kekayaan bernilai AS$14.8 bilion (RM57.8 bilion).

Di peringkat global, pemilik Kuok Group yang berusia 93 tahun itu menduduki tangga ke-96.

Berkongsi kedudukan sebagai individu kedua terkaya di Malaysia dan ke-217 di dunia adalah tokoh telekomunikasi, Tan Sri T. Ananda Krishnan, dan pengasas bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan, masing-masing dengan aset kekayaan berjumlah AS$7.2 bilion (RM28 bilion).

Berusia 57 tahun, Tan Sri Paul Koon Poh Keong pula merupakan individu termuda di Malaysia yang tersenarai dalam 'Forbes Billionnaires List 2018'. Dengan aset kekayaan bernilai AS$2.4 bilion (RM9.4 bilion), pengasas bersama Press Metal Aluminium Holdings Bhd itu adalah ke-10 terkaya di Malaysia dan ke-1,020 terkaya di dunia.

Sementara itu, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary merupakan satu-satunya tokoh perniagaan Melayu yang disenaraikan. Dengan aset kekayaan berjumlah AS$1.9 bilion (RM7.4 bilion), pengasas Yayasan Albukhary itu menduduki tangga ke-11 terkaya di Malaysia dan ke-1,284 terkaya di dunia.

Senarai 14 individu terkaya di Malaysia.
Tahun ini, individu yang disenaraikan sebagai terkaya di dunia ialah pengasas dan ketua pegawai eksekutif Amazon.com Inc., Jeff Bezos yang mempunyai aset kekayaan bernilai AS$112 bilion (RM437 bilion).

Ini diikuti pengasas Microsoft, Bill Gates, sebagai kedua terkaya di dunia dengan aset kekayaan bernilai AS$90 bilion (RM351 bilion).

Warren Buffet, terkenal dengan memberi lebih daripada 99 peratus kekayaannya untuk sumbangan amal, merupakan ketiga terkaya di dunia dengan aset bernilai AS$84 bilion (RM327 bilion).

Manakala Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump jatuh 222 anak tangga dan kini berada pada kedudukan ke-766 terkaya di dunia dengan aset bernilai AS$3.1 bilion (RM12 bilion) susulan kejatuhan aset hartanah sebanyak AS$50 juta (RM195 juta), antara lain.