Selepas 25 tahun menerajui Sapura Energy Berhad sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO), Tan Sri Shahril Shamsuddin mengumumkan bakal bersara berkuatkuasa 22 Mac 2021.

Beliau dijangka melepaskan jawatan tersebut sebaik mencapai usia 60 tahun pada tarikh berkenaan.

Shahril yang merupakan seorang tokoh korporat terbilang negara mengasaskan Sapura Energy pada pertengahan 1990-an.

Beliau membina syarikat tersebut sejak dari awal bermula dengan kontraktor selaman kepada syarikat minyak dan gas (O&G) bersepadu global.

"Di bawah kepimpinannya, Sapura Energy berkembang daripada memberi tumpuan kepada pasaran domestik menjadi syarikat O&G yang menawarkan perkhidmatan seluruh rantaian nilai huluan.

"Ia termasuk menjadi syarikat minyak bebas serantau menerusi SapuraOMV, dengan sumber bersih melebihi 260MMboe dan memenuhi sebahagian besar keperluan gas asli di Malaysia," kata Pengerusi Sapura Energy, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas dalam kenyataan pada Isnin.

Shamsul Azhar berkata, legasi Shahril akan menjadi modal insan berkemahiran tinggi dan memiliki kemampuan teknikal multinasional, aset berkelas dunia yang strategik, proses mantap dan kemampuan pengurusan projek terbaik.

Dalam masa sama, Sapura Energy mengumumkan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Sapura Energy, Datuk Mohd Anuar Taib menggantikan Shahril sebagai Ketua Pegawai Operasi dan CEO lantikan berkuatkuasa 1 Oktober ini yang merupakan sebahagian daripada tempoh transisi.

Mohd Anuar memulakan kerjaya di Sarawak Shell Berhad pada tahun 1990, selepas menamatkan pengajian dalam jurusan Sains Kejuruteraan (Mekanikal) dari Case Western Reserve University, Amerika Syarikat.

Beliau juga memegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari International Management RMIT University di Australia.