Malaysia sudah memulakan kerjasama dengan Singapura dalam siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia dilakukan menerusi Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia yang bertemu Pasukan Petugas Khas 1MDB Singapura hari ini.

Dalam satu kenyataan, Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk memulangkan sejumlah wang yang dipercayai diseleweng di Singapura ke Malaysia.

Persetujuan itu dicapai dalam satu mesyuarat antara pasukan petugas khas Malaysia dan Singapura itu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.

Tambahnya, kedua pihak juga akan bekerjasama untuk mengumpul bahan bukti dan mengesan saksi-saksi di Singapura.

Kedua pasukan juga akan memulakan usaha mengesan jejak wang dan aset yang masih wujud di Singapura.

"Pasukan ini juga akan melakukan 'money trail' (jejak aliran wang) bagi mengesan wang serta aset-aset yang masih wujud," menurut kenyataan itu.

Tambahnya lagi, mesyuarat hari ini dihadiri sembilan pegawai kanan pasukan siasatan Singapura yang terdiri daripada wakil Pejabat Peguam Negara Singapura, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura, Autoriti Kewangan Singapura (MAS).

Pihak Malaysia pula diwakili Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia yang terdiri daripada wakil Pejabat Peguam Negara, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Empat ketua bersama Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia iaitu bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador turut menghadiri mesyuarat itu.

Pada 21 Mei lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci kes 1MDB termasuk pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan jenayah dalam pengurusan syarikat pelaburan strategik negara berkenaan.