1MDB Real Estate Sdn Bhd yang merupakan pemaju induk Tun Razak Exchange hari ini melantik pemaju hartanah terkemuka Indonesia, Mulia Group sebagai pemaju Signature Tower di daerah kewangan itu.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata perjanjian jual beli sudah ditandatangani melibatkan transaksi bernilai RM665 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Azmar Talib berkata pelaburan itu membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Mulia Group, Eka Tjandranegara berkata selaku pemaju hartanah komersil terbesar di Indonesia, ia melihat TRX berpotensi besar untuk menjadi pusat kewangan.

Selain itu katanya, penyertaan Mulia Group dalam pembangunan TRX juga bakal membantu mengembangkan syarikat.

Signature Tower bakal menjadi titik pusat TRX yang bakal muncul sebagai ikon daerah kewangan. Mulia Group mempunyai perkongsian pasaran utama bagi hartanah komersil premium di Indonesia. Ia termasuk Hotel Mulia Bali dan Mulia Resort and Villas.

Sementara itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini dalam perbincangan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berhubung pembelian ekuiti terbesar dalam loji jana kuasa arang batu 2000mw, dikenali sebagai projek 3B.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata kementeriannya dimaklumkan berhubung perbincangan itu namun setakat ini belum ada kata putus dimaklumkan. Maximus berkata rancangannya ialah mengambil alih pegangan terbesar dalam projek itu.

Bagaimanapun ia masih diperingkat perbincangan. Beliau menegaskan langkah sewajarnya baru sahaja dimuktamadkan di mana kementerian serta Suruhanjaya Tenaga akan dimaklumkan perkembangan terkini.

Tambahnya lagi sebarang perubahan dalam ekuiti projek yang diluluskan sebelum ini akan dimaklumkan kepada kementerian dan kabinet.

Menurut laporan sebelum ini, 1MDB memiliki 70 peratus daripada Projek 3B yang terletak di jimah, Negeri Sembilan itu dan bakinya oleh Mitsui Co Ltd. Projek dengan anggaran nilai RM11 bilion itu dijadualkan untuk pentauliahan secara berperingkat bermula 1 Oktober 2018.

Project 3B terletak bersebelahan stesen kuasa jimah dimana 25 peratus dikuasai TNB dan baki 75 peratus oleh 1MDB. Beliau berkata demikian selepas pelancaran Subang Tenaga Hub, di Petaling Jaya pada Selasa.