SME Bank meluluskan pembiayaan sebanyak RM295 juta kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi program Outreach siri pertama pada Mac lepas.

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata hanya 108 daripada hampir 3,000 usahawan terlibat Outreach terpilih menjadi pelanggan bank tersebut selepas kertas kerja perniagaan dan syarikat mereka diluluskan.

"Mereka yang gagal mendapatkan pembiayaan ini kita letakkan sebagai sasaran pelanggan bank pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas program Outreach SME Bank wilayah utara di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi wilayah utara, Outreach siri pertama pada Mac lepas menghimpunkan 200 peserta mewakili 84 syarikat dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Mohd Radzif berkata dari Januari hingga Jun 2016, SME Bank wilayah utara menerima kertas kerja perniagaan melibatkan pembiayaan hampir RM685 juta daripada 980 usahawan.

Beliau berkata, ia menunjukkan program Outreach adalah platform yang dapat membantu usahawan PKS menangani masalah akses kepada pembiayaan seperti dihadapi kebanyakan usahawan sebelum ini.

Katanya, program bersama usahawan amat penting bagi SME Bank mengetahui keperluan dan masalah dihadapi mereka dalam mengembangkan perniagaan.

"Kita juga ingin memainkan peranan lebih besar agar pertumbuhan ekonomi wilayah utara dapat dicapai melalui perniagaan PKS di rantau ini seiring sasaran 41 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pada 2020," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi dan IMTGT Kedah, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail merasmikan program Outreach SME Bank wilayah utara itu.

Hadir sama ialah Pengerusi Kumpulan SME Bank Tan Sri Faizah Mohd Tahir.