SME Bank, peneraju institusi kewangan pembangunan (IKP) bagi sektor PKS dan juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) meneruskan inisiatif memupuk dan membimbing usahawan muda dengan memperkenalkan aspek perniagaan digital dalam pertandingan SME Bank Y-Biz Challenge bagi edisi ke-7 tahun 2020.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “Program tanggungjawab korporat SME Bank ini mula dianjurkan sejak tahun 2012 lagi dan telah berjaya mencapai matlamat penganjurannya. Ada antara peserta atau sekolah yang masih aktif menjual produk yang dipertandingkan sehingga ke peringkat antarabangsa. Sehingga kini, anggaran jumlah jualan terkumpul bagi para peserta SME Bank Y-Biz Challenge yang masih memasarkan produk mereka adalah melebihi RM500,000.00.”

“Format pertandingan SME Bank Y-Biz Challenge edisi ke-7 ini telah diberi suntikan pembaharuan melalui penekanan terhadap elemen digital bermula dari peringkat pendaftaran sehinggalah pemasaran produk.

"Melalui penambahbaikan ini, peserta akan didedahkan serta diperlukan menggunakan elemen pemasaran digital dalam proses perniagaan mereka. Modul pertandingan juga telah dikemas kini dengan penambahan modul e-dagang dan pemasaran digital serta perkongsian ilmu oleh e-usahawan berjaya.” tambah Aria.

Aria berkata, “Selain itu, 10 kumpulan yang layak ke peringkat akhir juga perlu menyediakan dua buah video yang akan dimuat naik ke Youtube dan Facebook SME Bank bagi mempromosikan produk dan berkongsi tentang perkembangan perniagaan mereka. Ini adalah langkah bagi mendedahkan para peserta tentang kepentingan menggunakan media sosial sebagai salah satu platform untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.”

SME Bank Y-Biz Challenge menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM91,000 termasuk tiket penerbangan bernilai RM25,000 untuk juara bagi membolehkan mereka menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Objektif pelaksanaan Program SME Bank Y-Biz Challenge ini adalah seiring dengan matlamat Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan menjelang tahun 2030. Pertandingan yang melibatkan pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia ini memberi peluang buat mereka meneroka potensi diri dalam bidang perniagaan. Inisiatif ini secara tidak langsung akan menyuntik minat dan seterusnya membimbing mereka untuk menjadi generasi usahawan muda pintar digital.

Sesi pendaftaran awal telah pun dibuka pada 12 Disember 2019 dan sekolah-sekolah yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh mendaftar dan memuat naik kertas cadangan projek di laman web SME Bank, www.smebank.com.my sebelum atau pada 3 April 2020. Bagi menggalakkan lebih ramai mendaftar dan mendapat manfaat daripada program ini, 100 penyertaan yang mendaftar sebelum 31 Disember 2019 akan dijemput menyertai sesi taklimat khas yang akan diadakan pada akhir bulan Januari 2020 nanti. Sesi ini akan membantu mereka menyediakan kertas cadangan projek yang mantap dan berkualiti.

Pertandingan SME Bank Y-Biz Challenge ini juga telah menerima pengiktirafan antarabangsa Plaque of Merit bagi kategori Program Tanggungjawab Sosial daripada Association of Development Financing Institution in Asia and the Pacific (ADFIAP) pada tahun 2014 .