Suruhajaya Syarikat Malaysia (SSM) pada Khamis memaklumkan bahawa pihaknya telah menerbitkan Pekeliling Amalan Perniagaan Terbaik 6/2017 (BBPC 6/2017) bertajuk 'Laporan Ulasan Perniagaan: Panduan Penzahiran dan Pelaporan'.

Dalam kenyataan pada Khamis, SSM berkata, pekeliling itu berfungsi sebagai panduan kepada syarikat di Malaysia untuk melaporkan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan mereka.

"Penerbitan buku itu adalah selaras dengan pengenalan Seksyen 253(3) Akta Syarikat 2016 (AS2016), yang bertujuan menggalakkan penzahiran CSR dalam bentuk laporan ulasan perniagaan," menurut pendaftar dan pengawal selia korporat itu.

SSM berkata seksyen tersebut memperuntukkan supaya laporan ulasan perniagaan dilampirkan sebagai sebahagian laporan pengarah dalam penyata kewangan yang diserah simpan di SSM dan kandungannya adalah termasuk perkara yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Kelima AS2016.

BBPC 6/2017 itu terbahagi kepada tiga bahagian, kata SSM.

"Bahagian pertama memberi penerangan berhubung penzahiran CSR di Malaysia dan bagaimana agenda CSR SSM serta AS2016 menyumbang kepada penggalakkan inisiatif CSR bagi kesemua jenis syarikat di Malaysia," kata SSM.

Bahagian kedua pula menjelaskan gambaran keseluruhan, objektif dan manfaat yang diraih daripada pelaporan ulasan perniagaan serta memberi panduan penyediaan laporan ulasan perniagaan, menurut SSM.

Sementara itu, SSM berkata, contoh laporan secara keseluruhan dengan menumpukan kepada pelaporan dua isu iaitu mengenai isu alam sekitar di dalam perniagaan serta hak asasi manusia di dalam perniagaan terkandung pada bahagian ketiga.

"Walaupun pematuhan terhadap penyediaan dan pengemukaan laporan ulasan perniagaan di bawah akta tersebut adalah secara sukarela, SSM berpendapat dan percaya bahawa ia akan memberi nilai tambah kepada pelaporan korporat ke arah mencapai kemampanan perniagaan serta bersifat lebih telus berkenaan cabaran yang dihadapi.

"Ini kerana polisi, komitmen, inisiatif serta jenis tindakan yang diambil atau yang akan diambil bagi mencegah kemungkinan impak hak asasi manusia ke atas operasi perniagaan boleh dizahirkan melalui laporan tersebut," kata SSM.

BBPC itu boleh dimuat turun dan dicetak terus dari laman web rasmi SSM di http://www.ssm.com.my.

-- BERNAMA