Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan kembali dilaksanakan di negara ini mungkin ditetapkan pada kadar lama iaitu sebanyak 10 peratus.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan, kadar itu selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya ke-14 yang lalu.

"Kalau kita ikut Manifesto Pakatan Harapan, kita akan ikut kadar lama iaitu 10 peratus. Bagaimanapun, kalau ada perubahan kita akan maklumkan," katanya dalam sidang media di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Selain mengembalikan SST, pemansuhan GST juga adalah antara Manifesto Pakatan Harapan dan ia dijanjikan dibuat dalam 100 hari pertama pentadbirannya.

SST adalah cukai satu aras yang mana cukai ini hanya dikenakan kepada pengilang sahaja dan tidak boleh dituntut.

Cukai ini dianggap sebagai kos kepada perniagaan.

Manakala, GST adalah cukai yang dikenakan kepada pengguna yang menggunakan barang dan perkhidmatan di setiap peringkat rantaian sehingga pengguna.