BMW Group Malaysia bersama dengan Tian Siang Premium Auto telah melancarkan Stesen Pengecas BMW i pertama di Perak di Hotel Weil di sini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, stesen pengecasan kereta elektronik (e-kenderaan) itu menunjukkan komitmen berterusan kumpulan untuk memacu mobiliti masa depan di negara ini.

"Dengan Malaysia sebagai pasaran kelima terbesar bagi kenderaan BMW Hybrid, kami gembira untuk menjadi peneraju dalam mobiliti elektro dan mobiliti masa depan di negara ini.

"Ia juga penting untuk terus memperluas akses stesen pengecasan untuk pelanggan kami, terutama melalui rangkaian pengedar sah kami," katanya dalam ucapan pada pelancaran tiga stesen pengecasan di sini.

Hoelzl berkata, kumpulan itu merancang untuk memperkenalkan Stesen Mengecas BMW i ke lebih banyak negeri di negara ini, sambil menambah bahawa stesen terbabit kini terletak di Holiday Inn Melaka (dua stesen), The Equatorial Melaka (dua stesen) dan CityONE Megamall Kuching, Sarawak (dua stesen).

Ketua Pengedar Automotif Premium Tian Siang, Tan Ka Kin berkata, setakat tahun lepas, 45 peratus daripada lebih 400 kenderaan BMW di Perak adalah kenderaan BMW iPerformance, sambil menambah bahawa jumlah itu akan terus meningkat.

"Adalah wajar untuk kami mengambil langkah bagi membangunkan infrastruktur pengecasan bersama dengan rakan kongsi premium kami di negeri ini," tambahnya.

-- BERNAMA