Syarikat pengangkutan negara Prasarana telah menerima pesanan sehingga RM7.9 bilion daripada institusi kewangan tempatan untuk terbitan sukuk berjumlah RM3 bilion.

Ketua Eksekutif Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata tempahan itu membuktikan pasaran kewangan tempatan bersedia menyokong program infrastruktur syarikat berkenaan.

Beliau berkata Prasarana menerima tempahan dari 54 institusi kewangan di seluruh negara.

"Kami menerima pesanan sehingga RM7.9 bilion iaitu kira-kira 2.6 kali terlebih langgan," kata beliau kepada pemberita pada Majlis Konvokesyen Prasarana 2016 di PWTC hari ini.

Sehubungan itu katanya Prasarana tidak akan membuka penawaran tersebut kepada dana asing dan akan terus memberi keutamaan kepada institusi dana tempatan.

"Kami tidak akan membuka tawaran kepada dana asing dan akan terus memberi keutamaan kepada institusi dana tempatan apabila kami menerbitkan bon dan setakat ini sambutannya amat menggalakkan," tambah beliau.

Ini merupakan penerbitan sukuk pertama oleh Prasarana tahun ini.

Beliau berkata, penerbitan itu adalah bagi membiayai pembinaan laluan LRT Ampang dan Kelana Jaya yang bakal dibuka kepada orang ramai pada tahun ini.

Fasa kedua sambungan LRT laluan Ampang dijangka dibuka pada akhir Mac, diikuti sambungan laluan Kelana Jaya pada bulan Jun.

Azmi berkata syarikat itu juga kini merancang pembiayaan projek LRT3, yang akan menghubungkan Bandar Utama ke Klang.

Pembinaan itu dijangka bermula tahun ini dan akan berakhir pada penghujung 2020.