Bekas Pengurus Akaun, Jabatan Akaun, Bank Negara Malaysia (BNM) Saleha Lajim memberitahu prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bahawa beliau menerima arahan secara lisan daripada Timbalan Gabenor Tan Sri Dr Lin See-Yan ketika itu untuk membuat pengubahsuaian pada penyata kewangan tahunan.

Saleha, 69, memberitahu RCI bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang (forex) dialami BNM pada 1990-an, beliau menerima arahan lisan itu dalam sebuah mesyuarat yang dihadirinya, dan kemudian memberi arahan kepada kakitangan di Jabatan Akaun untuk membuat pengubahsuaian.

"Saya percaya pihak atasan telah berbincang dan fikirkan cara terbaik untuk mengatasi kerugian yang dialami. Pihak atasan waktu itu (jawatan penasihat dan ke atas) telah tahu status untung rugi aktiviti forex yang dijalankan berdasarkan laporan mingguan yang diberikan dalam mesyuarat," katanya ketika membaca keterangan saksi pada prosiding di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Beliau yang mula bertugas di BNM pada 1986 sebagai pegawai kanan akaun di Jabatan Akaun berkata sekiranya draf itu diluluskan ia akan disahkan oleh gabenor dan diserahkan kepada Jabatan Akaun untuk dibuat pengubahsuaian, draf yang diluluskan gabenor disimpan oleh Jabatan Akaun.

Saleha juga memberitahu bahawa ketika beliau mengambil alih tugas sebagai pengurus di Jabatan Akaun pada 1993 BNM ada menjalankan aktiviti urus niaga forex tetapi tidak diberitahu sama ada ia semata-mata untuk menstabilkan ringgit ataupun berbentuk spekulasi.

"Dalam mesyuarat mingguan yang diadakan, seingat saya kebanyakan status aktiviti forex yang dijalankan mengalami kerugian dan ia diketahui oleh timbalan gabenor ketika itu," katanya dan menambah bahawa laporan untung rugi aktiviti forex ada dinyatakan dalam laporan mingguan yang dibawa dalam mesyuarat bersama timbalan gabenor.

Bagaimanapun, Saleha berkata pada 1993 aktiviti forex tidak dinyatakan dalam penyata kewangan sebaliknya ia dikategorikan sebagai perbelanjaan tertunda.

"Sehingga penyata kewangan tahunan 1993, saya tidak ingat jumlah keseluruhan kerugian dialami BNM tetapi jumlah yang agak besar," katanya yang bertugas di BNM pada tahun 1986 hingga Sept 1994.

Sementara itu, bekas Penolong Ketua Audit Negara P. Kanason, 78, berkata beliau telah diberitahu oleh Ketua Perkhidmatan Penasihat di Pejabat Peguam Negara ketika itu Tan Sri Ainum Mohamed Saaid, bahawa perdagangan forex BNM tidak teratur dan tidak mematuhi keperluan peruntukan Akta Bank Negara Malaysia 1958.

Kanason berkata para juruaudit meminta nasihat itu kerana mereka bimbang terhadap transaksi forex dalam sehari berjumlah lebih RM50 juta dan perkara itu telah dibawa ke mesyuarat oleh juruaudit yang bertanggungjawab di bahagian audit BNM.

Beliau berkata mesyuarat itu diadakan di dalam kamar dan Seksyen 31 Akta BNM 1958 telah dibincangkan.

"Kami meminta nasihat perundangan sama ada perdagangan dalam forex oleh BNM mengikut undang-undang dan berikutan itu nasihat telah diberikan secara lisan oleh Ainum.

"Hari berlalu tanpa nasihat secara bertulis diterima dan saya diberitahu oleh beliau dan seingat saya beliau berkata 'orang atasan cakap jangan campur tangan', dan saya dijanjikan satu jawapan serta nasihat bertulis daripada Pejabat Peguam Negara bahawa isu itu harus diselesaikan antara ketua audit negara dan gabenor Bank Negara," katanya dalam kenyataan saksinya hari ini.

Bagaimanapun Kanason berkata beliau tidak bertanyakan Ainum siapa orang atasan yang dimaksudkan beliau dan Ainum pun tidak menyebut namanya.

Prosiding awam itu dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan akan bersambung 30 Ogos.

Mohd Sidek, yang juga Pengerusi Petronas dibantu oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said dan CEO Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Perakaunan Negara K. Puspanathan. - BERNAMA