Taman Teknologi Tinggi Kulim atau Kulim Hi-Tech Park (KHTP) berkembang pesat berikutan peningkatan permintaan daripada syarikat teknologi tinggi asing yang berminat untuk mendirikan operasi pengeluaran, pengedaran di kawasan tersebut.

Taman perindustrian itu dirancang dan dilaksana sebagai satu strategi dalam usaha mencapai Wawasan 2020 agar Malaysia menjadi negara perindustrian menjelang 2020.

"Hari ini, taman perindustrian tersebut bersepadu sepenuhnya dan taman sains yang komprehensif yang menempatkan syarikat multinasional dan tempatan dalam sektor teknologi tinggi," kata Presiden Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd, Datuk Dr Annuar Mohd Saffar, dalam temubual dengan Bernama.

KHTP dibangun dan diuruskan Kulim Technology Park, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah.

"Lebih banyak tanah industri akan ditambah pada masa depan. Kami sedang membangunkan infrastruktur untuk sektor berteknologi tinggi dan penyedia perkhidmatan kepada sektor ini," katanya.

Antara syarikat besar asing yang beroperasi di KHTP ialah Infineon Technologies (fabrikasi wafer), Intel (semikonduktor), First Solar, Fuji Electric, Osram and Panasonic.

Annuar berkata, Osram iaitu syarikat berpangkalan di Jerman, contohnya, telah mendirikan kilang bernilai satu bilion euro (1Euro=RM4.70) dan dua lagi kemudahan penyelidikan dan pembangunan bernilai dua bilion di KHTP.

Menurut beliau, KHTP menyasarkan syarikat pengeluaran multinasional berteknologi tinggi dalam sektor seperti fabrikasi wafer, semikonduktor, solar dan tenaga boleh diperbaharui, perubatan dan peranti sainstifik serta industri elektronik canggih.

Katanya, syarikat perindustrian di KHTP telah melabur lebih RM40 bilion serta membawa bersama produk serta teknologi pengeluaran berpaten dan canggih, di samping menggunakan berpuluh ribu pekerja mahir dan separuh mahir di kawasan tersebut.

"Syarikat terlibat telah membina pengaruh yang kukuh dalam penggunaan aplikasi teknologi tinggi, avionik, semikonduktor, cip tenaga, penyelesaian simpanan kepadatan tinggi, sel solar dan modul yang cekap," kata Annuar.

Sementara itu, rancangan kerajaan Kedah untuk membina lapangan terbang di Kulim sudah pasti akan meningkatkan daya tarikan KHTP.

"Lapangan terbang baharu itu, sebagaimana dicadangkan kepada kerajaan pusat, akan merangsang kesambungan Kulim dan mengukuhkan kemudahan pengeluaran dan pengedarannya.

"Dengan pembinaan lapangan terbang itu, kita boleh menarik lebih banyak pelabur ke KHTP," kata Annuar.

KHTP sudah pasti akan mendapat manfaat daripada lapangan terbang tersebut yang akan terletak hanya kira-kira 30 minit daripada lebuh raya baharu.

"Pelaburan untuk mendirikan lapangan terbang itu akan memberi manfaat bukan sahaja dalam menarik pelaburan langsung asing tetapi juga pengembara boleh terbang secara terus ke Kulim," tambahnya.

Menurutnya, penduduk di utara Perak, Perlis dan Pulau Pinang juga akan mendapat faedah daripada projek tersebut, iaitu dari segi peluang pekerjaan serta pengembangan ekonomi. -- BERNAMA