Pergerakan Pemuda UMNO meminta kerajaan memberi penekanan kepada syarikat farmaseutikal untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menjadikannya Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kepada mereka.

Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, ia sekali gus menjadikan industri kesihatan lebih berdaya saing untuk menghasilkan produk perubatan dan mengurangkan kebergantungan kepada negara luar.

"KPI itu akan menjadikan satu bentuk tekanan kepada syarikat tempatan untuk mengeluarkan produk terbaik selain menjadi pilihan rakyat negara ini," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Khairul Azwan berkata demikian semasa mengulas hasil perbincangan 'Meja bulat kesihatan: Mengejar sebuah transformasi' di Akademi Kepimpinan Kapten Hussein pada Selasa.

Perbincangan itu diadakan bersama pengamal-pengamal perubatan, pihak industri kesihatan serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.

Ia dikatakan perlu diberi perhatian kerana penjagaan kesihatan oleh kerajaan hanya melibatkan 3.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013.

Sebelum ini, Azwan berkata cadangan pengasingan klinik dan despensari di pusat rawatan negara ini masih belum boleh dilaksanakan lagi.

Jelasnya, ia memerlukan satu pelan jangka panjang selain pelbagai perbincangan khusus sebelum perkara itu dapat direalisasikan.

Dalam pada itu kata Khairul Azwan, kerajaan diharap memberi penekanan kepada kenaikan kos perubatan dengan kemampuan rakyat dan perbandingan kualitinya sendiri.

"Peningkatan kos perkhidmatan di rantau Asia membuktikan kita perlu berbuat sesuatu dengan segera.

"Kita tidak persoalkan akses perkhidmatan kesihatan namun minta kerajaan tekankan soal penjagaan pesakit," ujarnya.

Katanya lagi, tahap kualiti dan kos kesihatan boleh dipertikaikan apabila pesakit perlu melalui peringkat untuk rawatan lanjut dengan doktor pakar.

"Semua cadangan yang dibincangkan dalam meja bulat ini akan diangkat ke Kementerian Kesihatan dan Majlis Tertinggi Umno (MT) untuk tindakan susulan," jelasnya.