Beberapa syarikat gergasi Jepun telah memberi komitmen untuk mengembangkan pelaburan dan perniagaan mereka di Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Perdana Menteri, dalam pertemuan dengan 19 ketua eksekutif syarikat Jepun dalam satu dialog perniagaan semalam, kesemua mereka menzahirkan sokongan kepada negara.

“Terdapat 19 konglomerat Jepun dan setiap satu daripada mereka telah memberitahu hasrat untuk mengembangkan perniagaan atau melabur dalam projek-projek baharu di Malaysia.

“Kebanyakan mereka mempunyai perkhidmatan dalam bidang kesihatan, kewangan dan mereka mahu mengembangkannya lagi,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja beliau ke Jepun hari ini.

Sepanjang tiga hari lawatan ke negara matahari terbit ini, Perdana Menteri diberi penghormatan sebagai pemimpin pertama yang berucap pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-25 anjuran Nikkei Inc.

Beliau turut menjayakan Dialog Perniagaan anjuran MIDA, MDeC dan Jetro, yang dihadiri wakil-wakil syarikat seperti Mitsubishi, Roland, Kawasaki, Sankyu, dan banyak lagi.

Ditanya mengenai adakah masih wujud sikap skeptikal pelabur asing terhadap keadaan ekonomi Malaysia, Dr Mahathir berkata, apa yang beliau tahu golongan itu sentiasa positif dengan negara ini.

“Saya tak tahu yang mereka bersikap skeptikal. Yang selalu skeptikal adalah media. Masih bercakap kami tidak mentadbir dengan baik walaupun hakikatnya ekonomi negara sedang berkembang,” kata Dr Mahathir lagi.

Perdana Menteri berkata, banyak pihak gagal untuk menyedari hakikat bahawa Pakatan Harapan berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan dalam keadaan yang aman dan demokratik.

“Anda gagal untuk menyedari bahawa pengambil alihan tampuk pemerintahan negara dalam keadaan yang sangat aman itu merupakan satu pencapaian.

“Kebanyakan negara akan mengalami keganasan. Tetapi di sini, kami berjaya melakukan banyak perkara, menyelesaikan hutang besar kerajaan terdahulu, membantu Felda dan Tabung Haji, dan banyak lagi. Malah kerajaan juga bersedia menghulurkan bantuan kewangan,” ujar Dr Mahathir.