Beberapa syarikat Jepun menyatakan pendirian akan hanya membeli minyak sawit yang diperakui datang dari sumber lestari dan mempunyai pensijilan kelestarian sahaja mulai 2020.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata perkara itu ditegaskan semasa pertemuannya dengan beberapa syarikat Jepun termasuk syarikat kosmetik dan sabun utama, Kao Corporation, ketika lawatan kerja beliau ke Jepun baru-baru ini.

"Mereka telah membuat keputusan hanya membeli minyak sawit yang ada sijil kelestarian untuk memastikan komoditi yang dibeli bukan diperoleh dengan memusnahkan hutan dan alam sekitar, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program 'Get The Right Opportunity Workshop' (GROW) di sini, pada Ahad.

Sehubungan itu, Mah yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata kementeriannya akan meneruskan agenda supaya semua yang terlibat dengan industri kelapa sawit perlu mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MPSO) secepat mungkin.

"Bagi merealisasikannya, kementerian mewajibkan pensijilan berkenaan kepada semua pekebun kecil, sebahagian kos akan ditanggung oleh kerajaan.

"Bagi estet yang kurang (daripada) 1,000 hektar, kita akan menampung kos kira-kira 70 peratus dan lebih daripada 1,000 hektar kita akan tampung kos kira-kira 30 peratus. Semua ini adalah untuk menggalakkan semua pekebun kecil dan estet untuk mendapat pensijilan (berkenaan)," katanya.

Dalam pada itu, katanya nilai eksport produk berasaskan komoditi negara sehingga Oktober lepas meningkat sebanyak 17 peratus atau RM117 bilion berbanding RM99 bilion yang dicatatkan untuk tempoh sama tahun lalu.

"Ini menunjukkan sektor komoditi negara berkembang positif biarpun ekonomi ada kalanya naik turun, namun nilai eksport komoditi berjaya ditingkatkan. Bagi saya, ini adalah satu prestasi yang baik kerana eksport keseluruhan sektor komoditi pada 2016 adalah RM122 bilion," katanya.

Mah berkata berdasarkan prestasi itu, kementerian menjangka pendapatan eksport bagi November dan Disember mampu mencecah sehingga RM130 bilion.

Mah turut menyatakan sokongan terhadap usaha Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk mengumpul petisyen tandatangan kira-kira 100,000 peneroka bagi membantah cadangan Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan terhadap minyak sawit Malaysia.

"Kita perlu sampaikan mesej dengan menunjukkan kepada negara EU bahawa kelapa sawit bukan sahaja ditanam oleh syarikat perladangan besar, malah ia turut melibatkan ramai pekebun kecil di negara ini," katanya.

-- BERNAMA