Syarikat Malaysia dan Arab Saudi hari ini menandatangani tujuh memorandum persefahaman (MoU), bernilai RM9.74 bilion, dalam pelbagai bidang termasuk pembinaan, kerjasama halal, aeroangkasa dan perkhidmatan haji.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata MoU berkenaan menunjukkan minat yang semakin meningkat daripada kedua-dua negara untuk memanfaatkan kekuatan bersama dalam mencapai matlamat perniagaan.

Beliau berkata, MoU itu akan melengkapkan MoU kerajaan-kepada-kerajaan yang dimeterai dengan Menteri Negara Arab Saudi, Dr Ibrahim Abdulaziz Al-Assaf pada Isnin.

"Memandangkan Arab Saudi semakin beralih daripada bergantung dengan perolehan minyak, kita mahu menggalakkan pelabur Saudi untuk meneroka potensi perniagaan dalam bidang pertumbuhan baharu khususnya berkaitan produk teknologi canggih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di Forum Perniagaan Malaysia-Arab Saudi yang berlangsung sempena lawatan negara Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud di sini, hari ini.

Antara firma tempatan yang menandatangani MoU itu ialah Perbadanan Pembangunan Industri Halal, Prasarana Malaysia Bhd, Dewina Holdings Sdn Bhd, Majlis Amanah Rakyat dan Silvertech Global Sdn Bhd.

Hadir sama ialah Gabenor Pihak Berkuasa Perusahaan Kecil dan Sederhana Arab Saudi Dr Ghassan Ahmed Al-Sulaiman, Pengerusi Majlis Dewan Perniagaan Saudi Dr Hamdan Abdullah Alssomaireen dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindusrian Kebangsaan Malaysia Datuk Ter Leong Lap.

Mustapa menjemput syarikat multinasional Saudi (MNC) untuk mengikuti langkah MNC lain bagi memanfaatkan skim Hab Prinsipal Malaysia.

Ia akan membolehkan MNC negara itu menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk melonjakkan fungsi nilai tambah strategik utama mereka ke arah lebih cekap kos, katanya.

Forum sehari itu dianjurkan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

Ia bertujuan menggalakkan dan mengetengahkan peluang perniagaan dan pelaburan di Malaysia dan Arab Saudi serta menyediakan platform untuk membincangkan dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu berkaitan perdagangan dan pelaburan di samping pendekatan bagi mempertingkatkan hubungan ekonomi dua hala.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, Malaysia mempunyai kedudukan kukuh dalam sektor pembinaan Arab Saudi dengan 19 kontrak bernilai RM18.5 bilion diberi kepada syarikat Malaysia setakat ini.

Antaranya ialah Loji Penjanaan Tenaga dan Air Bebas (IWPP) serta loji penyahgaraman Shuaibah yang merupakan IWPP pertama di Arab Saudi; operasi dan penyelenggaraan sistem Metro Arafah-Mina oleh Prasarana; dan, pembangunan Kompleks Jamrah di Mina oleh Alloy MTD.

Perdagangan keseluruhan Malaysia dengan Arab Saudi meningkat sebanyak 27.8 peratus kepada RM14 bilion (US$3.4 bilion) pada 2016, daripada RM11 bilion (US$2.8 bilion) pada 2015.

Tiga eksport utama Malaysia ke Arab Saudi pada 2016 ialah minyak sawit dan produk berasaskan sawit (RM565.75 juta, 16.8 peratus); jentera, peralatan dan alat ganti (RM380.72 juta, 11.3 peratus); dan makanan diproses (RM379.16 juta, 11.2 peratus).

-- BERNAMA