Malaysia mungkin sedang berusaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) untuk sektor aeroangkasanya, namun kemungkinan untuk bekerjasama dengan syarikat Amerika Syarikat (AS), malah menubuhkan operasi sendiri di AS, boleh membuka sinergi untuk kedua-dua pihak dalam bidang pengkhususan.

Pelabur boleh meraih manfaat yang besar dalam sektor aeroangkasa, logistik dan lain-lain yang merupakan agenda utama pada Sidang Kemuncak SelectUSA 2018, yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 22 Jun di Washington DC.

Setiausaha Bahagian Perdagangan Antarabangsa di Jabatan Perdagangan, Gilbert Kaplan, memberi penekanan kepada persidangan itu, yang bermatlamat mempromosikan AS sebagai destinasi pelaburan utama dunia, serta menghubungkan syarikat asing yang layak dengan organisasi pembangunan ekonomi AS bagi memudahkan perniagaan pelaburan dan pewujudan pekerjaan.

Bertema 'Melabur Di Sini, Berjaya Di Sini', beliau berkata subsektor aeroangkasa yang terbuka untuk pelaburan asing termasuklah pembinaan pesawat awam besar, rotor, ruang komersial, penerbangan am, enjin, sistem pesawat tanpa pemandu, infrastruktur lapangan terbang, bahan api penerbangan, rantaian bkalan, termasuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, komposit, logam dan avionik.

"Pelabur ke persidangan ini mewakili hampir setiap sektor. Dari segi pengecualian cukai dan sebagainya, banyak perbincangan akan dilakukan.

"Setiausaha (Perbendaharaan) Mnuchin akan bercakap tentang cukai. Mungkin tidak banyak pengecualian cukai, sebaliknya mengenai hakikat bahawa Amerika Syarikat telah menurunkan kadar cukai pendapatan korporatnya secara mendadak sejak beberapa bulan yang lepas, menjadikan Amerika Syarikat sangat kompetitif dari segi percukaian.

"Banyak negeri (di AS) akan berada di sana (persidangan), yang menawarkan program cukai yang menarik kepada pelabur," kata Kaplan kepada Bernama.

Berdasarkan angka, beliau berkata: Ekonomi AS kukuh, paling kukuh di dunia, dan akan terus meningkat',.

"Kami melihat keuntungan luar biasa dalam pasaran kewangan. Pengurangan cukai, pembaharuan pengawalseliaan, dan inisiatif propertumbuhan lain, yang digubal dalam tempoh 18 bulan yang lepas menjadikan Amerika Syarikat sebagai tempat yang lebih baik untuk menjalankan perniagaan.

"Ini dibuktikan oleh lebih daripada US$3.7 trilion saham FDI di Ameika Syarikat, yang terus menguasai bahagian terbesar FDI di dunia," katanya.

Kaplan juga berkata peserta pada empat siri persidangan pelaburan tahunan itu mengumumkan projek baharu FDI bernilai hampir US$ 93 bilion di Amerika Syarikat antara Oktober 2013 dan September 2017, yang menyokong lebih 140,000 pekerjaan.

Untuk persidangan kali ini Kaplan berkata selain 50 negeri dan wilayah di AS, 2,846 peserta sudah mendaftar setakat ini.

Beliau juga berkata terdapat 1,000 syarikat pelabur berpotensi dari 60 negara sudah mengesahkan kehadiran mereka.

Kaplan berkata angka itu dijangkakan meningkat kepada 1,200 firma dari 64 negara.

Beberapa rakyat Malaysia yang ditemu bual di sini, berkata kerajaan Malaysia wajar menganjurkan acara yang serupa bagi menarik pelaburan ke Malaysia, menjadikan Malaysia sebagai gebang ke ASEAN.

-- BERNAMA