Syarikat-syarikat penerbangan di Asia-Pasifik dijangka mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak US$9 bilion pada tahun depan berbanding US$8.3 bilion yang bakal direkodkan untuk 2017, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Peningkatan dalam pasaran kargo telah memberikan sokongan kepada rantau ini memandangkan Asia-Pasifik mencatatkan 37 peratus daripada keseluruhan jumlah kargo dunia, kata IATA.

"Pasaran domestik China, India dan Jepun telah mula mengukuh. Kemasukan lebih banyak syarikat berkos rendah dalam kawasan Asia sedang merancak dan ini menyebabkan keuntungan rendah.

"Bagaimanapun, terdapat gangguan dalam tekanan persaingan membabitkan 'syarikat penerbangan utama' untuk penerbangan jarak jauh disebabkan mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam pasaran domestik masing-masing," kata persatuan itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bercakap mengenai prospek industri penerbangan global secara umum, persatuan itu meramalkan keuntungan bersih akan bertambah kepada US$38.4 bilion pada 2018, naik daripada US$34.5 bilion yang dijangka untuk 2017, didorong oleh permintaan yang kukuh, kecekapan dan pembayaran faedah yang lebih rendah.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac berkata, industri pengangkutan udara dunia sedang menyaksikan momentum yang lebih positif memandangkan peningkatan dalam prestasi keselamatan termasuk angka pelancong yang semakin bertambah.

"Permintaan terhadap kargo udara berada pada tahap tertinggi dalam lebih dari satu dekad. Pekerjaan sedang berkembang. Lebih banyak laluan akan dibuka. Syarikat-syarikat penerbangan sedang mencapai tahap keuntungan yang mampan.

"Ia bagaimanapun masih merupakan perniagaan yang mencabar dan kami masih menanggung kos akibat kenaikan bahan api, tenaga kerja dan perbelanjaan infrastruktur," katanya.

Bagi 2018, trafik penumpang, yang diukur dalam hasil kilometer penumpang, dijangka menokok sebanyak enam peratus, ini akan mengatasi kapasiti pengembangan sebanyak 5.7 peratus, sekali gus meningkatkan faktor beban purata kepada rekod sebanyak 81.4 peratus dan memacu tambahan 3 peratus dalam hasil.

-- BERNAMA