Syarikat telekomunikasi (telco) tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan sekiranya membenarkan ejen-ejen mereka menjual kad sim prabayar tanpa meminta pembeli mengemukakan kad pengenalan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata sebagai pihak yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), semua syarikat telco wajib mematuhi syarat atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu perlu mendapatkan salinan kad pengenalan daripada pembeli sebelum sesuatu urus niaga dijalankan.

"Jika peniaga atau ejen sebuah syarikat telco didapati menjual kad prabayar tanpa pembeli perlu mengemukakan kad pengenalan, tindakan pasti akan diambil, bukan kepada ejen tetapi ke atas syarikat telekomunikasi berkenaan.

"Ini kerana mereka yang dilesenkan apabila terdapat ketidakpatuhan oleh mana-mana peniaga di bawah mereka, syarikat terbabit sebagai pemegang lesen akan dikenakan tindakan seperti dikompaun," katanya mengulas mengenai dakwaan adanya sindiket yang menjalankan operasi itu untuk mendapatkan keuntungan 'atas angin'.

Bercakap kepada pemberita selepas menyertai larian sejauh lima kilometer sempena sambutan Hari Standard Sedunia di sini, hari ini, Jailani berkata semua syarikat telco telah diberi peringatan mengenai perkara itu dan kesannya jika membiarkan ejen-ejen mereka melanggar syarat atau SOP yang ditetapkan.

Beliau berkata setakat ini tiada syarikat telco yang dikenakan tindakan berhubung kesalahan itu tetapi SKMM sentiasa memantau dan membuat analisa ke atas aktiviti penjualan kad sim prabayar oleh ejen-ejen terbabit dan jika berlaku pelanggaran syarat, syarikat berkenaan akan dikompaun bermula RM10,000 sehingga RM1 juta.

Beliau berkata semua syarikat telco perlu lebih bertegas terhadap ejen-ejen mereka dalam mematuhi garis panduan yang ditetapkan ketika menjalankan operasi kerana penjualan kad sim prabayar tanpa salinan kad pengenalan boleh memberi kesan kepada aspek keselamatan negara dan kepentingan pengguna.

Sebagai syarikat telco yang ternama, mereka perlu menghindarkan syarikat daripada dikenakan kompaun kerana tindakan itu jika diambil tentunya akan memberi kesan kepada perniagaan selain menjejaskan imej syarikat.

Jailani berkata aktiviti penjualan kad sim prabayar masih belum berleluasa dan ia dapat dikekang selepas SKMM memperkenalkan syarat baharu iaitu ejen atau seseorang yang ingin menjual kad tersebut hanya boleh menjualnya kepada lima penama sahaja atas satu kad pengenalan.

Berbanding boleh menjualnya kepada 20 orang sebelum ini, peraturan baharu yang diperkenalkan bermula awal tahun ini itu dilihat sebagai usaha suruhanjaya itu mengekang aktiviti penyalahgunaan penjualan kad prabayar oleh ejen, katanya. - BERNAMA