Proton Holdings Berhad (Proton) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharu syarikat berkuatkuasa 5 Mei 2016.

Ia berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 31 Mac 2016, menurut Proton dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad itu berpengalaman dalam bidang korporat dari pelbagai industri dan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Group Lotus plc.

“Beliau memulakan kerjaya di PricewaterhouseCoopers dan pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad dari 2003 hingga 2008.

“Antara jawatan-jawatan penting lain yang disandang Syed Faisal sebelum ini termasuk Pengarah Urusan Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Pengarah Eksekutif Konsortium Logistik Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corporation Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas Malaysia Berhad,” kata Proton.

Menurut syarikat itu, pengalaman Syed Faisal serta rekod prestasinya yang terbukti dalam meningkatkan hasil dan keuntungan merupakan satu kelebihan untuk Proton yang kini dalam proses memulihkan perniagaannya.