Pengedar sah Honda SYK RW Motor Sdn Bhd telah melabur RM7 juta untuk membina Pusat 3S Honda berkeluasan 48,000 kaki persegi di Miri, Pusat 3S Honda terbesar di Sabah dan Sarawak.

Pusat 3S Honda terbaru itu adalah wakil pengedar ketujuh Honda di Sarawak yang menyasar untuk memperluaskan lagi kedudukan Honda di wilayah berkenaan dan pembukaannya tepat pada masa disebabkan oleh perkembangan dan penerimaan pasaran kenderaan Honda di Sabah dan Sarawak.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata dengan asas pelanggan yang berkembang, terdapat keperluan mendesak bagi Honda Malaysia untuk meningkatkan pengedarannya bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dengan memberikan kemudahan tambahan kepada mereka.

"Ini termasuk akses mudah ke Pusat 3S Honda. Kami juga ingin menjangkau lebih ramai pelanggan dari kawasan yang berbeza, terutama yang tinggal di bandar dan daerah satelit, " katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagi tempoh Januari-November 2017, jualan Honda di kawasan berkenaan berjumlah lebih 6,600 unit, atau kira-kira tujuh peratus daripada keseluruhan jualan 98,200 unit.

Sarawak menyumbang lebih 4,000 unit atau 60 peratus daripada jualan dengan BR-V menjadi model paling popular dalam kalangan rakyat Sarawak.

-- BERNAMA