Selepas pelbagai dakwaan mengenai masalah kewangan yang dilontarkan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) sehingga ada yang mempertikai keupayaan lembaga itu untuk membayar bonus pendeposit bagi 2015, TH hari ini menetapkan untuk mengumumkan bonus pendepositnya esok, 4 Februari.

Bayaran bonus tersebut melibatkan kira-kira sembilan juta pendepositnya.

Pengumuman akan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sekitar jam 11.30 pagi bertempat di ibu pejabat lembaga berkenaan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

TH dalam jemputan media hari ini memaklumkan, Majlis akan turut dihadiri Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Ismee Ismail.

BACA: TH jawab dakwaan kedudukan kewangan, agihan dividen minggu depan - Abdul Azeez

BACA: 'DAP jangan runtuhkan kredibiliti Tabung Haji' - Syed Ali

BACA: Tabung Haji mampu bayar dividen 'memberangsangkan' - Abdul Azeez

Pengumuman ini sekali gus menepis segala dakwaan yang mempertikaikan keupayaan TH untuk membuat pembayaran bonus 2015 selepas rizabnya itu dikatakan turun ke paras negatif.

Abdul Azeez bagaimanapun segera tampil memberi jaminan bahawa peruntukan bagi pembayaran bonus sudah disediakan dan pendeposit tidak perlu bimbang dengan tabungan mereka kerana ia dijamin kerajaan.