Walaupun tahun 2020 bakal membawa cabaran dalam persekitaran ekonomi global, ekonomi Malaysia dijangka akan terus berkembang agak sederhana pada kadar 4.5 peratus.

MIDF Research berkata ini disebabkan gabungan kedua-dua faktor global dan domestik seperti peningkatan
tekanan inflasi.

"Tekanan inflasi pada tahun hadapan dijangka meningkat secara mendadak kepada 2.4 peratus ekoran dasar kerajaan dalam subsidi petrol," jelas MIDF Research.

Selain itu, MIDF Research turut meramalkan penurunan dalam permintaan global, peningkatan risiko geopolitik dan kekurangan momentum pertumbuhan ekonomi negara kuasa besar ekonomi dunia terutamanya Amerika Syarikat, China dan Eropah.

Ini dijangkakan mereka selepas melihat perkembangan terbaharu dalam senario geopolitik menunjukkan pasaran modal yang mencabar dalam masa terdekat ini.

"Selain itu, kami juga menjangkakan isu-isu seperti ketegangan perdagangan dan perang dagang, fokus Kesatuan Eropah (EU) terhadap isu perubahan iklim, perkembangan dasar monetari dan penurunan kadar faedah, pemotongan bekalan OPEC dan impaknya terhadap harga minyak mentah dunia.

"Reformasi kawal selia dan pembinaan semula projek mega infrastruktur domestik seperti ECRL akan
terus menimbulkan ketidakpastian, lantas menjejaskan sentimen para pelabur dan menyebabkan peningkatan volatiliti bukan sahaja pada pasaran ekuiti tempatan, tetapi juga di pasaran-pasaran serantau.

Pasaran saham Malaysia juga menyaksikan aliran keluar sebanyak RM11.69 bilion, setakat 13 Disember 2019, di mana jualan bersih dana pelabur asing telah direkodkan sebanyak 34 minggu.

"Walau bagaimanapun, penurunan dalam pemegangan saham asing di pasaran tempatan adalah marginal.

"Pasaran-pasaran lain di rantau Asia juga telah mula menunjukkan aliran keluar dana pelabur asing yang meningkat pada separuh kedua 2019," jelas MIDF Research dalam satu kenyataan.

Di sebalik kebimbangan terhadap prestasi perdagangan luaran, MIDF Research menjangkakan sektor-sektor berasaskan komoditi untuk mengurangkan sebahagian daripadanya.

Untuk tahun 2020, MIDF Research menganggarkan harga komoditi global kekal pada tahap menguntungkan.