Taiwan Ekspo kembali lagi.

Anjuran tahun kedua ini bakal menampilkan 12 ruang pameran inovasi hebat yang menonjolkan kecanggihan penyelidikan dan pembangunan Taiwan.

Menurut Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA), Felix Chiu, ekspo yang berlangsung selama tiga hari itu dijangka menerima kehadiran lebih 30,000 pengunjung dan bakal menjana keuntungan bernilai RM165 juta.

“Tahun ini, kami kembali dengan lebih banyak sokongan dari Malaysia. Saya gembira dengan Malaysia Baharu yang membuka lebih banyak peluang dalam perniagaan.

“Saya pasti ekspo tahun ini akan mempromosikan lebih banyak produk dan teknologi yang mencerminkan kehebatan Taiwan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Taiwan Ekspo, di ibu negara pada Selasa.

Taiwan Ekspo 2018 bertemakan ‘Menghubungkan Taiwan, Menghubungkan Dunia’ bakal menampilkan 250 ruang pameran oleh 200 syarikat yang terdiri daripada pelbagai kategori.

Antaranya adalah syarikat berteraskan bandar pintar, teknologi hijau, penjagaan kesihataan, produk halal Taiwan, gaya hidup dan pelancongan di negara itu.

Apa yang lebih menarik, ekspo kali ini akan menonjolkan produk halal buatan Taiwan yang terdiri daripada produk penjagaan kulit dan makanan serta minuman.

Secara keseluruhannya, Felix berkata, ekspo itu bukan sahaja menggalakkan hubungan perdagangan dua hala, malah menggalakkan pertukaran lebih besar dalam bidang pembangunan industri, sumber manusia, budaya dan pelancongan.

Taiwan Ekspo 2018 ini akan berlangsung dari 25 hingga 27 Oktober bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

Untuk rekod, bagi tahun 2017, Taiwan merupakan destinasi eksport ke-14 terbesar di Malaysia. Jumlah eksport Malaysia ke Taiwan meningkat sebanyak 12.8 peratus dengan nilai RM23.96 bilion berbanding tahun 2016, yang bernilai RM21.24 bilion.