Berita  | Bisnes

Tan Sri Mohd Bakke bakal terajui Felda?

Tan Sri Mohd Bakke bakal terajui Felda?
Mohd Bakke (gambar) dipercayai sedang bercuti hingga 30 Jun sebelum bersara dari Sime Darby Plantation.
PENGARAH Urusan Sime Darby Plantation Berhad, Tan Sri Mohd Bakke Saleh disebut-sebut bakal menggantikan Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor sebagai Pengerusi Felda.

Menurut sumber Felda, Mohd Bakke disebut oleh pekerja dalaman Felda sebagai bakal Pengerusi baharu badan itu.

Menurut sumber Sime Darby Plantation Bhd pula, Mohd Bakke kini sedang bercuti sehingga 30 Jun ini sebelum bersara dari syarikat itu.

Astro AWANI sedang mendapatkan maklum balas Sime Darby Plantations Berhad berhubung perkara itu.
Mohd Bakke, 64 tahun, berkhidmat bersama Sime Darby Plantation Berhad selama sembilan tahun sejak 30 Disember 2010.

Mohd Bakke pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Felda Holdings Berhad (sebelum dikenali sebagai Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV)) pada Januari 2009.

Mohd Bakke mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekonomi) dari London School of Economics, United Kingdom pada 1977.

Beliau juga merupakan pegawai di Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) sejak 1983 dan menjadi Felo ICAEW sejak 1993.

Mohd Bakke juga merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia sejak 1988.

BACA: Felda akan terima Pengerusi baharu? 


Cabaran Pengerusi Baharu

Cabaran bagi Pengerusi baharu Felda sudah pasti menguruskan hutang badan itu yang mencecah nilai RM8 bilion serta pelan pemulihan yang disusun melibatkan dana suntikan RM6.23 bilion oleh kerajaan.

Bukan itu sahaja, malah Pengerusi baharu juga berdepan cabaran untuk memastikan bayaran pendahuluan hasil dibayar secara konsisten setiap bulan kepada peneroka dan hutang peneroka yang tinggi perlu diselesaikan.

Berikut antara cabaran yang perlu digalas Pengerusi baharu Felda:

  1. Hutang Felda bernilai RM8 bilion.
  2. Meningkatkan aliran tunai Felda yang berada pada sekitar RM400 juta pada akhir 2017.
  3. Pelaksanaan semua pelan pemulihan di bawah Kertas Putih Felda melibatkan suntikan dana RM6.23 bilion.
  4. Bayaran pendahuluan hasil secara konsisten setiap bulan terhadap Peneroka.
  5. Menyelesaikan masalah hutang tinggi yang ditanggung oleh peneroka.
  6. Menyemak kembali pengurusan ladang komersial milik Felda yang diserahkan kepada Felda Global Ventures Holdings (FGV) melalui Land Lease Agreement (LLA).
  7. Menyelesaikan pemilikan PT Eagle High yang lebih mahal dari harga pasaran.


Tag: Felda, Sime Darby, Mohd Bakke Saleh, Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, Pengerusi Felda, Sime Darby Plantation


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.