Malaysia hari ini menyeru negara-negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk mencari jalan dan mengenal pasti tindakan konkrit dalam usaha mengurangkan impak COVID-19 terhadap ekonomi.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia termasuk memberi keutamaan segera untuk ekonomi APEC memberi sokongan terhadap Deklarasi Memudahkan Pergerakan Barang-Barang Penting.

“Deklarasi ini adalah petunjuk yang jelas terhadap komitmen kita untuk memastikan bahawa barang-barang keperluan tetap dapat diakses walaupun dalam situasi krisis.

“Saya faham bahawa konsensus mengenai deklarasi ini masih sukar difahami. Namun, dalam minggu ini, kita berjaya secara kolektif dan, akhirnya, menemui jalan penyelesaian yang dapat diterima oleh semua pihak.

“Saya perlu mengucapkan terima kaish kepada semua ekonomi kerana bekerja tanpa lelah dalam memastikan deklarasi ini dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Maya Menteri-Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (VMRT), hari ini.

VMRT tersebut pertama kali diadakan secara maya, dan disertai oleh menteri-menteri perdagangan dari kesemua 21 ekonomi APEC.

Ia sepatutnya diadakan pada April lalu di ibu negara, namun terpaksa ditunda berikutan penularan pandemik COVID-19.

Mesyuarat tersebut bertujuan mewujudkan persetujuan bersama bagi inisiatif-inisiatif konkrit oleh ekonomi terbabit dalam menangani cabaran akibat pandemik COVID-19, selain mempercepatkan rantau ini mencatat pemulihan ekonomi.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata Mesyuarat Pegawai Kanan turut mengemukakan cadangan untuk memudahkan pergerakan rentas sempadan dalam kalangan ekonomi APEC.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin berharap cadangan tersebut dapat disegerakan di peringkat berkenaan.