Perkhidmatan aplikasi 'TaxiGo' diperkenalkan sebagai satu lagi platform e-hailing bagi pengusaha teksi dan kereta sewa di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, lebih banyak platform e-hailing untuk aplikasi teksi akan dapat membawa pembangunan positif dalam industri teksi di negara ini selain memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna yang mahu 'tambang mampu bayar' dan 'perkhidmatan yang baik'.

Menurutnya, pengendali aplikasi TaxiGo, Cab MMobility Sdn Bhd, memberi jaminan bahawa TaxiGo itu adalah terbuka kepada pemandu teksi dan kereta sewa yang mempunyai Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) sahaja manakala pemilik kenderaan persendirian tidak dibenarkan menggunakan aplikasi tersebut.

"Tambangnya adalah mengikut kadar tambang teksi sedia ada," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan aplikasi TaxiGo di sini, hari ini.

Loke berkata, Cab MMobility turut menawarkan khidmat 'Media Iklan Digital' yang akan dipasang pada teksi secara percuma sebagai sumber pendapatan alternatif kepada pemandu teksi.

"Pemandu teksi bakal menikmati sumber pendapatan bulanan daripada bukan tambang antara 10 hingga 20 peratus sekiranya teksi mereka dilengkapi dengan iklan digital ini," katanya.

Hadir pada pelancaran itu ialah Pengerusi Cab MMobility, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif Cab MMobility, Kenny Lai. -- Bernama