Syarikat telekomunikasi Jepun terkemuka, NTT DOCOMO Inc buat kali pertama berjaya melakukan transmisi data dalam rangkaian 5G di kompleks komersial, sebagai sebahagian daripada usaha pelancaran sistem komunikasi mobil 5G pada tahun 2020.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, DOCOMO mengumumkan ujian transmisi data yang dijalankan bersama Nokia Networks di kompleks Roppongi Hill di sini pada 13 Oktober lalu berjaya mencapai kelajuan ultra penghantaran data melebihi 2Gbps.

Ujian transmisi data berkenaan menggunakan isyarat gelombang milimeter dengan frekuensi yang sangat tinggi iaitu 70GHZ.

“Ini merupakan satu perkembangan yang sangat penting bagi penggunaan teknologi tanpa wayar 5G yang dapat digunakan di persekitaran pengguna.

“Setakat ini, tiada lagi ujian yang telah mencapai 5G dalam penghantaran data di kompleks komersial seperti pusat membeli-belah kerana masalah stesen pangkalan yang jauh terjarak yang akhirnya menyebabkan pengurangan kekuatan isyarat ketika melalui sistem penghantaran,” tambah DOCOMO dalam kenyataan sama.

Walau bagaimanapun, DOCOMO berkata ujian kali ini berjaya kerana penggunaan dua teknologi baru iaitu pembentuk pancaran (beamforming), yang memberi tumpuan kepada gelombang radio dalam arah yang tertentu, dan pengesanan pancaran yang mengawal arah pancaran mengikut lokasi yang peranti," katanya.

DOCOMO telah bekerjasama secara langsung dengan beberapa pembekal dalam ujian dan pembangunan teknologi komunikasi mudah alih 5G sejak Mei 2014, termasuk Samsung Electronics, Ericsson, Fujitsu, dan Huawei Technologies.

Memberi perkhidmatan kepada lebih 68 juta pelanggan mudah alih di Jepun, DOCOMO merancang untuk menggunakan rangkaian 5G pada tahun 2020.