Jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan untuk menyediakan kertas cadangan berkenaan kaedah pembayaran royalti yang telah ditingkatkan daripada lima peratus kepada 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak termasuk Sabah, diberi tempoh enam bulan untuk menyiapkan kertas cadangan itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jawatankuasa yang turut dianggotainya berserta wakil-wakil dari empat buah negeri termasuk Sabah dan Sarawak, akan berbincang dan memperhalusi semua cadangan sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk membuat keputusan.

"Perlu berunding dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dalam perkara ini termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu mestilah dipenuhi dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Ini juga antara terma rujukan Jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan untuk melihat pelaksanaan MA63," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Majlis Pimpinan Negeri PKR di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, antara perkara yang dibincangkan dengan negeri-negeri terlibat termasuk berkenaan kaedah pembayaran 20 peratus royalti sama ada daripada keuntungan bersih hasil petroleum negara atau berasaskan pengeluaran minyak dan gas.

"Itu (kaedah bayaran) adalah antara debat yang berlaku. Kita perlu benarkan proses ini berterusan. Saya perlu bincang dengan Sabah dan Sarawak untuk mereka tampil dengan cadangan dan rekomendasi mereka. Itu adalah sangat demokratik di mana kita harus mendengar pandangan negeri.

"Tetapi pada masa yang sama, saya juga telah menyatakan dalam Parlimen, kita juga harus melihat kedudukan kewangan negara pada hari ini supaya Petronas itu mampan. Kita tidak mahu ganggu sehingga operasi Petornas terpaksa ditutup kerana kegagalan mereka (Petronas) untuk memenuhi 20 peratus kalau berdasarkan kepada keuntungan bersih," katanya.

Bagaimanapun, katanya peningkatan royalti kepada 20 peratus berkenaan sudah dipersetujui kerajaan dan akan dilaksanakan sebagai memenuhi janji Pakatan Harapan dalam manifesto mereka pada pilihan raya umum yang lalu. -- Bernama