Hanya berbaki dua bulan sebelum tiba bulan Syawal dan Aidil Fitri, pasti ramai sudah mula mencari persiapan yang berpatutan dengan bajet yang dirancang.

Justeru Tesco Malaysia, mengorak langkah untuk menyediakan koleksi raya dengan harga mampu milik bagi tahun ini.

Tahun ini, Tesco Malaysia menampilkan koleksi raya daripada tiga ikon tempatan, pelakon Rozita Che Wan, pelakon Erma Fatima dan kartunis Ujang serta koleksi Tesco, Sejati.

Menurut Pengarah Perniagaan Atas Talian Tesco Malaysia, Janice Chan, harga keempat-empat koleksi ini kekal berpatutan.


"Tesco sentiasa berusaha memberikan harga terbaik bagi pengguna. Sebagai contoh, bagi koleksi Rozita Che Wan, kami mengekalkan harga RM299 sesuai dengan keadaan inflasi ketika ini.

"Bagi Ujang, ini kali pertama kami bekerjasama dengan kartunis tempatan. Harganya sangat berpatutan. Bagi koleksi kanak-kanak, berharga RM25.90 dan dewasa RM35.90.

Model memakai baju gaya kasual dengan kartun Ujang dijual pada harga RM35.90. - Foto Astro AWANI/Pritha Manivannan
"Mok Cun (Erma Fatimah) pula ia berdasarkan reka baju dan kualiti kainnya, harganya juga menarik dari RM159 ke RM189.90," kata Janice.

Janice berkata selain harga mampu milik, Tesco Malaysia turut memberi fokus kepada jenama tempatan.

Katanya ia penting bagi memastikan jenama tempatan kekal menjadi pilihan utama pengguna Malaysia.

Model memakai salah satu daripada koleksi gaya tradisional Erima Fatima - Foto Astro AWANI/Pritha Manivannan
Menurut Janice, keunikan koleksi raya Tesco tahun ini fleksible dan boleh digayakan oleh pelbagai kaum.

Tambah beliau, koleksi raya ini juga boleh dibeli melalui peruncit atas talian, Lazada pada harga yang sama.

Sementara itu, beliau berkata melalui jualan koleksi raya ini, Tesco optimis akan mencatatkan pertumbuhan dua digit dalam jualan pakaian tahun ini.


Koleksi jenama Tesco, Sejati bagi sekeluarga pada harga yang berpatutan - Foto Astro AWANI/Pritha Manivannan