TH Properties Sdn Bhd, cabang pembangunan hartanah Lembaga Tabung Haji (TH) Malaysia, sedang mengenal pasti pasaran kediaman di London dan Jakarta selepas berjaya memperluaskan perniagaannya di Sydney, Australia.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Roszali Othman bagaimanapun berkata syarikat itu tidak tergesa-gesa untuk menembusi pasaran terbabit memandangkan ia sedang mengenal pasti rakan kongsi yang tepat untuk bekerjasama di kedua-dua negara berkenaan.

"Kami masih mencari rakan kongsi di London dan Jakarta," katanya kepada pemberita di luar majlis Anugerah Hartanah Antarabangsa 2017 di sini pada Isnin.

Beliau berkata keputusan untuk mencari rakan kongsi dalam meneroka pasaran baharu dibuat berdasarkan kejayaan usahanya di Australia.

Roszali berkata melalui usaha sama 50:50 dengan pemaju tempatan di Australia, syarikat itu memperoleh beberapa projek kediaman dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM3.5 bilion.

Beliau berkata projek TH Properties di Australia turut memberi sumbangan besar kepada keuntungan syarikat itu.

"Tahun ini, syarikat itu dijangka mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM94.12 juta, meningkat daripada RM73.72 juta tahun lepas walaupun hasil dijangka merosot sedikit kepada RM440.66 juta berbanding RM471.93 juta sebelumnya," katanya.

Beliau berkata berikutan kejayaannya di Sydney, syarikat itu juga sedang berusaha mengembangkan perniagaannya ke pasaran perumahan di Melbourne dan Perth.

Namun katanya peluasan itu bergantung kepada rakan kongsi dan lokasi yang sesuai.

Di Malaysia katanya TH Properties sedang membina TH Hotel dan Pusat Konvensyen Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa KL, kedua-duanya dijangka siap tahun depan.

Selain itu, syarikat juga sudah memperoleh kelulusan reka bentuk projek kediaman di tanah Tabung Haji di Tun Razak Exchange, namun belum ada tarikh yang ditetapkan untuk memulakan pembinaan projek itu.

- BERNAMA