Tidak ada komen negatif mengenai aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kerana ia kukuh dan dibuktikan dengan fakta, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Arul Kanda.

Menurutnya, pelbagai isu berkaitan 1MDB adalah lumrah di kalangan entiti perniagaan, bagaimanapun ia dipolitikkan pihak tertentu yang menjadikan proses untuk menstabil dan menambah baik syarikat pelaburan strategik kerajaan itu lebih mencabar.

"Sekarang kita mempunyai satu laporan di mana fakta-fakta di dalam laporan tersebut telah menghurai beberapa kelemahan syarikat dan telah membuat beberapa cadangan kepada kerajaan," katanya dalam dialog khas mengenai 1MDB, Persepsi dan Realiti, semalam.

Arul berkata, 1MDB boleh menjalankan apa yang perlu dilakukan bagi menambah baik syarikat berkenaan.

Pada November tahun lepas, IMDB telah menandatangani perjanjian untuk menjual keseluruhan aset tenaganya di bawah Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN) bernilai RM9.83 bilion tunai.

Dilaporkan CGN akan turut mengambil alih semua hutang kasar dan tunai syarikat operasi Edra, iaitu Edra Solar Sdn Bhd, Edra Energy Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, Jimah Teknik Sdn Bhd, Jimah O&M Sdn Bhd, Mastika Lagenda Sdn Bhd dan Tiara Tanah Sdn Bhd.

Pada Disember ia telah memeterai perjanjian untuk menjual pegangan 60 peratus dalam anak syarikatnya, Bandar Malaysia Sdn Bhd bernilai RM7.41 bilion kepada satu konsortium terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd.

Konsortium itu akan membangunkan tapak bekas pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi seluas 194.4 hektar dengan pembangunan bercampur merangkumi perumahan, komersil dan kemudahan gaya hidup.

Dengan jualan itu, 1MDB telah menyiapkan pelan rasionalisasi untuk menyelesaikan beban hutang dalam tempoh enam bulan selepas dibentang ke Kabinet pada Mei.

PAC dalam laporannya menyatakan yang hutang 1MDB bermula dengan RM5 bilion pada 2009 sebelum melambung kepada RM42 bilion pada akhir 2014.

Pada Januari 2016, hutang itu mencapai RM50 bilion berbanding asetnya RM53 bilion dengan 1MDB membelanjakan RM3.3 bilion untuk membayar faedah ke atas hutang di antara 1 April 2014 dan 31 Mac 2015.

Bagaimanapun, PAC mendapati kerajaan mengambil tindakan segera untuk menangani masalah itu apabila masalah hutang itu timbul kembali pada 2014.

Berdasarkan laporan PAC itu, Arul dilaporkan berkata, tidak ada elemen jenayah dalam pengurusan 1MDB tetapi hanya kelemahan yang perlu diperbetulkan.