Tiada sebarang perancangan dibuat masa ini untuk syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) beroperasi ke Istanbul.

MAB berkata demikian dalam satu kenyataan sambil menekankan bahawa syarikat itu akan terus membuat penilaian ke atas rangkaian laluan penerbangan mereka dari masa ke masa.

Pada Isnin, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dilaporkan mahu berunding dengan Malaysia Airlines dan syarikat penerbangan tempatan lain untuk beroperasi ke Lapangan Terbang Sabiha Gokcen (ISG) di Istanbul.

Ini berikutan pemilikan penuh MAHB ke atas lapangan terbang tersebut sejak 2015 dilihat terletak pada lokasi strategik dan berdekatan dengan pusat bandar yang berada di dua benua, Eropah dan Asia.

Sebelum ini, Malaysia Airlines pernah beroperasi ke Istanbul, namun dihentikan pada tahun 2015 selepas proses penstrukturan semula dilaksanakan oleh Khazanah Nasional Berhad.