Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin menganggap bahawa pelaksanaan langkah kawalan modal oleh Bank Negara seperti mana yang pernah dilakukan ketika berdepan dengan krisis kewangan pada tahun 1997/98 satu ketika dahulu, tidak diperlukan ketika ini.

Jelasnya, situasi ketika itu adalah sangat berbeza dan beliau merasakan bahawa pasaran dunia ketika ini tidak mengalami krisis kemelesetan.

Daim menjelaskan bahawa kesan daripada perlaksanaan itu nanti mungkin berbeza jika dibandingkan sewaktu krisis dahulu.

Malah jelas beliau, kerajaan ketika ini perlu memberi tumpuan dan fokus untuk menarik pelaburan yang betul.

"Saya fikir, pada masa ini, kerajaan perlu membiarkan pasaran menentukan kadar mata wang sambil memberi tumpuan kepada menarik pelaburan yang betul. Kita semua mesti bekerjasama untuk ekonomi kita menjadi lebih produktif," katanya ketika sesi soal jawab pada Persidangan Affin Hwang 2018 di sini, hari ini.

Daim juga menjelaskan kerajaan hari ini sewajarnya tidak terlalu banyak mencampuri keadaan ekonomi semasa tetapi sepatutnya membenarkan pasaran terbuka.

Cadangan mengenakan semula kawalan modal muncul selepas Bank Negara dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah itu bagi mengurangkan risiko keluar masuk modal dan bagi menjamin kestabilan pasaran.