Prasarana Malaysia Berhad akan mengumumkan 3 syarikat yang akan dianugerahkan kontrak bagi menguruskan 3 pakej kerja sistem bagi projek LRT3 laluan Damansara Utama-Klang.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz, pengumuman itu akan dibuat dalam tempoh antara 2 hingga 3 bulan.

Beliau berkata projek itu melibatkan kerja membina trek landasan dan konduktor kuasa rel, peralatan depoh dan kenderaan penyelenggaraan trek serta sistem tiket automatik.

"Bagaimanapun kita tidak dapat memberitahu anggaran kos bagi pakej kerja-kerja ini kerana kita tidak lagi menyiapkan reka bentuk projek. Kami hanya boleh memperolehi anggaran kos sekiranya kita telah mendapatkan perincian reka bentuk terbabit. Kemudia kita akan buka tender dan menetapkan nilai kos berkenaan, " kata beliau pada sidang media selepas majlis penyerahan sijil kelayakan pemohon bagi pakej kerja LRT3 di ibu negara pada Rabu.

Azmi berkata ketika ini 24 syarikat telah dikenalpasti layak bagi proses tender melibatkan tiga pakej kerja-kerja sistem berkenaan.

Ia katanya melibatkan syarikat tempatan dan asing termasuk dari China, Korea, Jepun, Singapura dan Perancis.

Sementara itu mengulas tender terbuka bagi projek yang membabitkan fasa kedua LRT3, Azmi berkata ia bagi memberi peluang kepada syarikat lain untuk menawarkan perkhidmatan mereka pada kos yang lebih kompetitif.

"Ia akan bertentangan dengan prinsip tender yang terbuka dan telus. Kalau kita mengekalkan tender kepada syarikat sedia ada, kita akan kehilangan peluang mendapatkan harga serta perkhidmatan terbaik. Jadi kita buka persaingan ini untuk semua," ujarnya.

Sementara itu Azmi berkata Prasarana turut telah mengesahkan pembukaan rasmi laluan LRT Kelana Jaya-Putra Heights, 30 Jun ini bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.