CIMB Group Holdings Bhd berkata, ia mengamalkan polisi toleransi sifar terhadap kakitangan yang menyalahgunakan maklumat dan kedudukan mereka di dalam mana-mana anak syarikat dalam Kumpulan bagi mendapat keuntungan di luar batas undang-undang atau secara tidak beretika.

"CIMB memandang serius soal pematuhan, melalui kawalan dalaman serta proses bagi memastikan pematuhan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan yang gagal mematuhi undang-undang juga proses pematuhan dalaman kami," kata kumpulan berkenaan, penyedia perkhidmatan kewangan terbesar negara, berasaskan aset, dalam satu kenyataan, di sini, pada Selasa.

Menurut kumpulan berkenaan, perkara ini merujuk kepada sebuah laporan berhubung Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) mengeluarkan Perintah Larangan (PO) untuk tempoh lima tahun terhadap Alan Tay Yeow Kee, bekas Naib Presiden CIMB Bank Bhd.

Terdahulu, MAS dalam satu kenyataan berkata, perintah itu akan menghalang beliau daripada menjalankan sebarang aktiviti yang dikawal selia dan mengambil bahagian dalam pengurusan, bertindak sebagai pengarah atau menjadi pemegang saham utama mana-mana firma perkhidmatan pasaran modal di bawah Akta Niaga Hadapan dan Sekuriti (SFA).

BACA: MAS keluarkan perintah larangan terhadap bekas Naib Presiden CIMB

Pada 2011, MAS berkata, beliau mengatur untuk orang lain membeli, bagi pihaknya, saham Qualitas Medical Group Limited dan Leeden Limited yang disenaraikan di Bursa Singapura pada masa itu.

Tay berbuat demikian semasa memiliki maklumat harga sensitif dan bukan awam bahawa kedua-dua syarikat telah menerima tawaran pengambilalihan, kata MAS.

Beliau mendapat maklumat dalaman mengenai tawaran pengambilalihan itu berdasarkan kedudukannya di CIMB.

Pada Mei 2017, Tay didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan di bawah Seksyen 219(2)(b) SFA kerana dagangan orang dalam.

-- BERNAMA