Sekatan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) terhadap produk keluaran anak syarikat Top Glove Corp Bhd bakal memberi kesan kepada pengeluarannya.

Bagaimanapun, syarikat itu masih boleh meneruskan proses penghantaran ke AS memandangkan sekatan itu disifatkan tidak memberi impak yang besar.

Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Wee Chai, syarikat itu akan meneruskan penghantaran ke AS namun ia diletakkan di zon bebas cukai.

Ia berikutan syarikat tersebut dijangka dapat menyelesaikan isu tersebut dalam masa dua minggu, katanya.

"Jika kami bersetuju untuk membayar balik yuran pengambilan itu dari satu setengah tahun yang lepas (sebelum Januari 2019), saya berpendapat CBP akan melepaskan barangan kami.

"Jika tidak, produk itu (yang diletakkan di zon bebas cukai) akan dihantar ke negara-ngara lain seperti Amerika Latin, Kanada malah negara-negara Timur Tengah," katanya dalam sidang media secara maya pada Khamis.

Mengulas lanjut, Lee berkata syarikat akan turut berbincang dengan pihak ketiga dan perunding bebas untuk mengkaji semula sistemnya bagi memastikan mereka mematuhi semua keperluan sepenuhnya.

Sementara itu, katanya pasaran AS mewakili kira-kira 25 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan syarikat itu.

BACA: Amerika Syarikat sekat produk Top Glove berhubung isu buruh paksa

Berdasarkan laman web rasmi CBP AS, dua anak syarikat Top Glove iaitu Top Glove Sdn Bhd dan Tg Medical Sdn Bhd telah diletakkan dalam senarai sekatan.

Walaupun tiada sebab dinyatakan, tindakan itu dipercayai berpunca daripada dakwaan bahawa Top Glove menggunakan khidmat buruh paksa.