Pakatan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan membawa masuk banyak pekerjaan yang lebih berkualiti selain turut memacu pelaburan dan perdagangan, kata Kumpulan Bank Dunia.

Pengarah Serantau Bank Dunia Bagi Asia Tenggara, Dr Ulrich Zachau berkata aspek positif itu adalah disebabkan oleh penetapan standard lebih tinggi dalam perkongsian berkenaan.

"Ini pada akhirnya akan membantu melonjakkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai berikutan kualiti lebih tinggi selain peningkatan produk nilai tambah serta perkhidmatan," katanya kepada wartawan di luar Sidang Kemuncak Ekonomi Asia Ke-10, di sini, hari ini.

Zachau adalah seorang ahli panel pada sidang berkenaan.

Beliau turut menyifatkan TPP dapat menambah baik persekitaran perniagaan di Malaysia untuk pelabur asing dan tempatan serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

"Kami (Kumpulan Bank Dunia) percaya integrasi perdagangan global serta keterbukaannya akan menggalakkan pertumbuhan bagi negara-negara yang menyertainya," katanya.

Malah, kata Zachau, Malaysia sebagai sebuah negara ahli TPP juga akan meraih manfaat untuk muncul sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini berbanding negara yang tidak menyertai TPP.

"Apa yang kita boleh harapkan adalah beberapa perubahan dalam perdagangan serta pelaburan dari negara yang belum menyertainya kepada negara ahli pakatan itu," katanya.

Mengulas kesan TPP terhadap Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), beliau berkata kedua-dua blok berkenaan adalah berbeza dari segi kekuatan ekonomi, biarpun ada sesetengah negara anggota ASEAN menyertai TPP.

"TPP lebih kepada menarik kuasa ekonomi besar dari seluruh rantau Asia Pasifik. Ia adalah peluang lumayan yang menjadi sebahagian daripada persekitaran itu," katanya.

Zachau berkata, Malaysia selaku ahli TPP, boleh membantu memartabatkan AEC dengan mengguna pakai standard tinggi yang dilaksanakan dalam perkongsian itu.

"Standard yang ditetapkan (dalam AEC) tidaklah setinggi berbanding TPP.

Bagaimanapun, menerusi pembabitannya dalam TPP, Malaysia berpeluang untuk menarik ASEAN ke arah pelaksanaan standard sedemikian," katanya

Sementara itu, sidang sehari bertemakan 'Thriving Amidst Global Economic Uncertainties and Challenging Times" (Melakar Kemajuan Dalam Ketidaktentuan Ekonomi Global Serta Masa Mencabar) antara lainnya bagi menilai aliran utama semasa serta cabaran yang dihadapi rantau Asia.

Program anjuran bersama Institut Kajian Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI), turut menganalisis pelbagai isu strategi dan penyelesaian bagi membantu perniagaan menangani serta maju dalam persekitaran dan tempoh mencabar.