Sebanyak 16 kementerian yang terlibat dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) boleh menggunapakai pengalaman tersebut untuk penjanjian perdagangan lain, walaupun jika perjanjian perdagangan bebas (FTA) tersebut gagal dicapai.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan berkata, jika TPP tidak dilaksanakan, bermakna negara tidak mendapat faedah daripada pasaran yang lebih terbuka di Amerika Syarikat (AS), iaitu ekonomi terbesar dunia.

"Kita juga tidak mendapat pasaran mudah ke Kanada, Mexico dan Peru. Jadi maksudnya, kita tidak dapat keuntungan seperti mana kita harapkan. Itulah kerugian.

"Satu lagi (kerugian) ialah kos selama lima tahun dan RM15 juta yang melibatkan 16 kementerian dan agensi itu. Tetapi, ia satu pengalaman yang amat baik kepada MITI dan 15 kementerian yang belajar mengenai FTA dunia - FTA yang terbaik ialah TPP," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, pada Selasa.

Sebanyak 12 negara, iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS, Vietnam dan Malaysia, memuktamadkan rundingan TPP di Atlanta pada 5 Oktober 2015.

Melalui TPP kira-kira 4,000 tarif dihapuskan apabila negara menjalankan perdagangan dengan AS, Mexico dan Peru yang Malaysia belum ada sebarang perjanjian perdagangan.

Walaupun ada cadangan untuk melaksanakan secara 12 tolak 1 - iaitu tidak melibatkan AS, ianya adalah sukar kerana dalam perjanjian TPP, ada satu klausa yang mengatakan enam negara yang meraktifikasi perlu mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 86 peratus.

"AS sahaja sudah 60 peratus daripada KDNK. Jadi kalau AS tidak masuk dalam TPP itu, bermakna TPP sukar dilaksanakan.

"Kita kena tunggu dan lihat sehingga 20 Januari 2017 apabila Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden AS," katanya.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sekiranya TPP tidak menjadi kenyataan, Malaysia akan meneroka pilihan lain, termasuk rundingan dua hala FTA dengan negara lain.

"Tumpuan kami kini ialah ke atas Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau yang membabitkan 10 anggota ASEAN dan enam rakan dagang utama di Asia Pasifik, termasuk China," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. -- Bernama