Pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan mempertingkatkan kehadiran Citibank Bhd di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Lung Nien berkata TPPA akan memberi manfaat kepada bank itu berikutan kedudukannya sebagai firma multinasional perkhidmatan kewangan.

Lee bagaimanapun mengakui selaku bank Amerika, Citibank masih perlu menanti kelulusan perjanjian itu dari Kongres Amerika Syarikat.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri pelancaran Voice Biometrics, perkhidmatan perbankan yang mengguna pakai biometrik suara pertama di Malaysia.

Menurut Pengurus Perbankan Pengguna Citibank, Elaine Fan, Citi Malaysia menyasarkan kaedah itu akan digunapakai secara sepenuhnya oleh pelanggannya dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Pada masa ini, Citi Malaysia mempunyai seramai sejuta pelanggan perbankan pengguna di negara ini yang menyumbang 55 peratus kepada perolehan hasilnya.

Malah, pihaknya turut menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 pelanggan perbankannya akan mendaftar untuk menggunakan kaedah biometrik berkenaan.

"Sasaran berterusan kami adalah untuk menerima sekurang-kurangnya 1,000 pendaftaran sehari dan berharap angka itu dapat dipertingkatkan," katanya.

Voice Biometrics antara lain membabitkan proses pengesahan berdasarkan suara dan menyamai cap jari yang unik bagi setiap individu.

Pelanggan Citi Malaysia boleh memilih untuk mendaftar dengan merakam suara mereka yang kemudiannya diproses sebagai cetakan suara serta disimpan sebagai padanan pengesahan apabila mereka menghubungi bank itu.

Menurut Fan, kaedah pengesahan biometrik suara itu sudah dilaksanakan di Taiwan, Australia, Hong Kong dan Singapura sejak 12 bulan lepas.