Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan membuka peluang lebih besar kepada kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan.

Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz berkata, ini berikutan faktor seperti kehadiran lebih ramai pelabur untuk melabur di negara ini.

Sehubungan itu beliau menyangkal dakwaan kononnya perjanjian perdagangan itu sebaliknya hanya menindas golongan kontraktor berkenaan.

"Perjanjian itu tidak menutup peluang atau memberi tekanan kepada kontraktor kecil Melayu di negara ini... perkara itu tidak timbul langsung.

"Jika kita lihat urusan perniagaan sebelum ini pun, kontraktor Melayu misalnya, telah membuat pelaburan di luar negara dan pelabur asing juga pernah melabur di Malaysia sebelum wujudnya TPPA. Oleh itu tidak timbul isu menutup peluang kontraktor Bumiputera dalam perjanjian itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Program Khidmat Komuniti Masjid Kampung Apa-Apa, Tendong yang dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat di sini, hari ini.

Rosdi yang juga Yang Dipertua PKMM Kelantan, turut menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab melemparkan tuduhan tidak berasas serta memberi persepsi negatif terhadap TPPA.

"Kita seharusnya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana berani mengetengahkan kepentingan Bumiputera dalam perjanjian itu," katanya.

Pada 4 Feb lepas, Malaysia dan 11 negara lagi iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam menandatangani TPPA yang akan mengembangkan pasaran, mengurangkan tarif serta menggalakkan perdagangan lebih bebas.