Malaysia masih meneliti cadangan perjanjian perdagangan bebas serantau Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana ia melibatkan banyak proses domestik, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Bagi Malaysia, kita mempunyai pendirian tersendiri dalam hal ini dan kita akan terus membincangkannya dengan rakan-rakan dari 11 negara lain.

“Kita melihat pada beberapa langkah ke hadapan dalam proses ini namun itu memerlukan komitmen mendalam dengan semua kementerian dan industri yang terlibat. Kita belum sampai ke tahap membuat keputusan akhir dalam perkara ini,” ujar beliau.

Mustapa berkata demikian selepas mengulas perkembangan terbaharu mengenai Senat Amerika Syarikat (AS) yang meluluskan kuasa fast-track kepada Presiden Barack Obama bagi membolehkannya mendapatkan persetujuan Kongres tanpa mendebatkan isi kandungan TPPA.

“Berkenaan hal tersebut, dari segi momentum ia akan menambah tarikan kepada keseluruhan proses rundingan,” kata Mustapa.

Menurut beliau, Malaysia mempunyai banyak perkara yang perlu diteliti terlebih dahulu khususnya tentang kepentingan syarikat yang dimiliki kerajaan, bumiputera dan juga analisis faedah kos.

“Ini bukan untuk kita putuskan secara bersendirian, semuanya harus melalui persetujuan. Kita juga tidak boleh bercakap bagi pihak negara-negara lain yang juga sedang mempertimbangkan TPPA,” kata beliau.

Pada akhirnya nanti untuk negara ini, menurut Mustapa, ia perlu melalui proses di Parlimen untuk mendapatkan kelulusan.

“Sebelum itu, kita harus sedar bahawa sesetengah kebimbangan yang disuarakan telah dibentangkan dengan secukupnya dan proses rundingan selanjutnya menyusul,” jelas beliau.