Malaysia menyaksikan transaksi sebanyak RM75 juta sebulan diproses melalui platform mata wang digital, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Timbalan Gabenor, Abdul Rasheed Ghaffour berkata, nilai itu masih kecil berbanding dengan permodalan pasaran mata wang digital di seluruh dunia yang berjumlah AS$420 bilion (AS$1=RM4.07).

Bagaimanapun, beliau berkata, BNM mengambil langkah ke hadapan dengan merancang untuk memperkenalkan dasar obligasi pelaporan yang akan menjadikan mata wang digital lebih telus dan untuk mengelak penyalahgunaan mata wang digital untuk pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan awal tahun depan.

"Dengan adanya obligasi pelaporan itu akan menjadikan bursa mata wang digital sebagai institusi pelaporan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)," katanya kepada pemberita pada majlis taklimat di sini, hari ini.

BACA: BNM mulakan langkah jadikan mata wang digital lebih telus

Abdul Rasheed berkata, dasar yang dicadangkan itu juga akan membolehkan bank pusat mengumpul lebih banyak data dan pemahaman mengenai mata wang digital yang akan membantu BNM menentukan hala tuju masa depan.

"Maklumat yang kita lihat ialah jumlah urus niaga, penukaran mata wang digital kepada wang fiat serta mata wang digital ke mata wang digital yang lain," katanya.

Beliau berkata, BNM juga akan mengumpulkan maklumat mengenai nilai urus niaga, pembelian bersih dan transaksi jualan, tujuan urus niaga, kaedah pembayaran, bilangan akaun pelanggan dan nilai akaun pelanggan yang belum dijelaskan.

Menurutnya, dasar itu, apabila dikuat kuasa, akan memerlukan bursa mata wang digital untuk melaporkan secara bulanan kepada bank pusat dan kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan denda tidak melebihi RM1 juta.

Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata, BNM tidak berhasrat untuk mengharamkan penggunaan mata wang digital di Malaysia kerana tindakan itu akan membunuh inovasi dan kreativiti.

BACA: Jangan harap Bitcoin akan 'lesap' - Ketua Ekonomi Bank Deutsche AG

"Apa yang penting adalah untuk mewujudkan satu keseimbangan. Kami mahu melihat inovasi dan kreativiti yang dapat memberi manfaat kepada pengguna dan negara sambil melindungi integriti sistem kewangan," katanya.

Ketika ditanya sama ada mata wang digital Bitcoin, kini berada dalam gelembung, beliau berkata, ciri-cirinya sama dengan gelembung harga.

"Jika anda lihat pada harga, adalah jelas ia sama seperti gelembung. Berapa harganya apabila ia mula diterbitkan dan berapa harganya hari ini.

"Jika anda lihat kepada pelaburan lain, saya tidak fikir anda akan mendapat pulangan setinggi itu. Semua yang mempunyai pulangan tinggi, mempunyai risiko tinggi. Saya tidak akan tidak bersetuju dengan itu (Bitcoin dalam gelembung)," tambahnya. -- Bernama