Uber Technologies Inc telah menyatakan persetujuan untuk menjual kepentingan perniagaannya di Asia Tenggara kepada pesaing terbesarnya yang berpangkalan di Singapura ,Grab.

Menurut sumber, pengumuman penggabungan berkenaan bakal dibuat hari ini.

Sekaligus menjadikan ia penggabungan terbesar di Asia Tenggara yang membabitkan perniagaan pengangkutan online terbesar dari Amerika Syarikat (AS).

Asia Tenggara kini memiliki kira-kira 640 juta penduduk.

Pengumuman penggabungan itu dijangka memberi tekanan kepada operator lain seperti Go-Jek dari Indonesia, yang disokong oleh Alphabet Google Inc dan Tencent Holdings dari China.

Sebagai sebahagian daripada transaksi penggabungan, Uber dijangka menguasai 30 peratus di dalam perniagaan berkenaan.

Menurut sumber lain pula, Uber bakal membeli diantara 25 hingga 30 peratus kepentingan di dalam Grab dengan nilai dianggarkan AS$6bilion (RM23.5 bilion).

Rancangan penggabungan Uber - Grab bertiup kencang awal tahun ini apabila Softbank yang berpangkalan di Jepun membuat pelaburan berbilion ringgit di dalam Uber.

Kerjasama dengan Grab juga memainkan peranan dalam usaha SoftBank untuk mengukuhkan kawalan ke atas pasaran perkongsian kenderaan global.

Uber adalah perintis rangkaian pengangkutan dari San Francisco, California, Amerika Syarikat.

Syarikat ini menyediakan perkhidmatan sewa kereta dan menghubungkan pengguna dengan pemandu penyewa kenderaan menerusi aplikasi pada telefon bimbit.

Grab pula menyediakan perkhidmatan kereta persendirian, motosikal, teksi dan perkongsian kenderaan di lebih 100 bandar seluruh Asia Tenggara.