Felda Marketing Services Sdn Bhd (Felma), unit tidak langsung Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), bercadang untuk menjual 16 peratus kepentingan ekuitinya dalam AXA Affin General Insurance Bhd (AAGI) pada harga RM224.38 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV berkata Felma merupakan anak syarikat Felda Palm Industries Sdn Bhd dengan 51 peratus kepentingan dan subsidiari Felda Holdings Bhd dengan 72 peratus kepentingan.

Felda Holdings Bhd pula merupakan anak syarikat milik penuh FGV.

Cadangan penjualan itu membabitkan 15.33 juta saham-saham biasa mewakili 12.87 peratus daripada modal saham terbitan AAGI kepada AFFIN Bank Bhd membabitkan pertimbangan tunai sebanyak RM180.54 juta atau RM11.78 sesaham.

Felma turut bercadang untuk menjual 3.72 juta saham-saham mewakili 3.13 peratus AAGI kepada AXA Asia pada RM43.84 juta secara tunai atau RM11.78 sesaham.

Selepas selesai cadangan penjualan itu, Felma akan terus memegang 100 saham dalam AAGI yang mana kegiatan utamanya adalah berkaitan penajaan jamin insurans am.

Harga jualan RM11.78 sesaham itu diterjemah kepada nisbah harga sebanyak 1.50 kali berbanding audit terkini aset bersih sesaham AAGI pada RM7.85, setakat 31 Dis, 2016.

Felma juga mengemukakan cadangan untuk menggunakan hasil jualan sebanyak RM224.38 juta untuk tujuan modal kerja dan perbelanjaan berkaitan cadangan penjualan berkenaan.

Kos pelaburan asal kepada Felma adalah RM90.64 juta yang diterjemahkan kepada kos efektif pelaburan kepada FGV sebanyak RM33.28 juta (berdasarkan kepentingan efektif FGV) pada 30 April, 2010.

"FGV mempertimbangkan cadangan penjualan itu sebagai peluang baik dari segi pengewangan pelaburan dalam AAGI. Ia juga seiring strategi semasa syarikat untuk memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan prestasi perniagaan terasnya serta pelupusan strategik perniagaan bukan teras bagi memaksimumkan nilai untuk para pemegang saham," katanya. -- Bernama