Anak syarikat milik penuh Ranhill Holdings Bhd, Ranhill Water Technologies (Cayman) Ltd (RWT Cayman), merancang menjual 60 peratus kepentingan dalam unitnya, Ranhill Water (Hong Kong) Ltd (RWHK), kepada SIIC Environment Holdings Ltd melibatkan bayaran RM167 juta.

Pembayaran itu akan diselesaikan secara tunai, dan kedua-dua syarikat akan menandatangani perjanjian jual beli dalam tempoh 30 hari mulai tarikh persetujuan perjanjian terbabit.

Dalam satu kenyataan, Ranhill berkata RWT Cayman telah menandatangani perjanjian dengan SIIC Environment Holdings Ltd (SIIC) yang berpangkalan di Singapura, semalam berhubung rancangan penjualan itu.

Ranhill berkata SIIC juga bersetuju menyediakan US$30 juta pinjaman pemegang saham kepada RWHK, selari dengan pegangan saham, setelah cadangan penjualan selesai.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill Tan Sri Hamdan Mohamad berkata pelan penjualan itu adalah selari dengan cadangan untuk menjalin usaha sama strategik bagi meluaskan operasi di China.

"Kami menjangkakan SIIC dan anak syarikatnya mungkin dapat membuka peluang pelaburan yang besar untuk Ranhill di China.

"Ini bukan sekadar penjualan aset, malah dalam pembentukan perkongsian strategik dengan SIIC dan anak-anak syarikatnya," katanya.

Harga saham Ranhill tidak berubah pada 96 sen dengan 27,000 saham bertukar tangan.

SIIC kini mempunyai lebih 80 projek rawatan dan bekalan air, dengan jumlah kapasiti reka bentuk lebih daripada tujuh juta tan sehari dan empat projek insinerator sisa di 15 pihak berkuasa tempatan.