Unjuran pengurangan defisit fiskal Malaysia dalam Bajet 2017 kepada 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 daripada anggaran 3.1 peratus pada 2016 menunjukkan keseimbangan antara dasar fiskal berhemat dan usaha yang menyokong pertumbuhan, kata RAM Ratings.

Agensi penarafan itu berkata, walaupun Bajet 2017 menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pengukuhan fiskal, kadar dijangka perlahan dengan peningkatan tekanan ke atas pendapatan.

Pendapatan fiskal hanya dijangka pada 16.6 peratus daripada KDNK pada 2017, lebih rendah daripada purata 20.2 peratus bagi 2010-2015, katanya.

"Jumlah yang lebih kecil itu disebabkan terutamanya oleh peruntukan lebih rendah bagi perbelanjaan terhadap bekalan dan perkhidmatan setelah peratusan daripada KDNK pada 2016 dan 2017, menunjukkan usaha fiskal penyatuan," kata Ketua Penarafan Negara RAM Ratings Esther Lai dalam satu kenyataan pada Rabu.

Emolumen, subsidi dan bantuan sosial tetap menjadi ciri-ciri penting yang mungkin melebihi jumlah wang yang diperuntukkan memandangkan tempoh akhir pilihan raya umum akan datang pada Ogos 2018, katanya.

Walaupun defisit fiskal boleh dicapai, kerajaan menghadapi risiko hasil cukai korporat yang lebih rendah dalam keadaan pertumbuhan ekonomi lembap dan pengenalan insentif cukai baru-baru ini untuk syarikat-syarikat serta perusahaan kecil dan sederhana, kata RAM Ratings.

Bagaimanapun, ia menyatakan kemungkinan peningkatan hasil sehingga 0.2 peratus daripada KDNK daripada sumber berkaitan minyak dan gas, memandangkan andaian harga minyak purata konservatif kerajaan pada US$45 setong.

RAM Ratings berkata beban hutang kerajaan persekutuan diunjur pada anggaran 54.4 peratus daripada KDNK pada akhir 2016. -- Bernama