Keuntungan bersih Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd menyusut kepada RM85.54 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2018, daripada RM106.07 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Bagaimanapun, perolehan meningkat 29 peratus kepada RM3.3 bilion berbanding RM2.56 bilion sebelum ini, terutamanya disebabkan kenaikan harga minyak dan pertumbuhan jumlah jualan yang sederhana.

"Jumlah jualan bagi suku tahun tersebut mencecah 9.1 juta tong, tidak begitu berubah berbanding 9.0 juta tong dalam tempoh sama tahun lepas berikutan permintaan daripada sektor komersial yang rendah pada tahun ini," menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Petron menjangka harga tidak menentu itu akan berterusan akibat beberapa faktor seperti ketegangan geopolitik dan perang perdagangan yang boleh menjejaskan penawaran dan permintaan terhadap minyak.

Pada masa depan, syarikat akan mengekalkan program pengembangan rangkaian stesen minyaknya untuk memenuhi asas pelanggannya yang meningkat dan menaik taraf kemudahan penapisan dan pengedarannya untuk menyokong keperluan yang meningkat. -- Bernama