Keuntungan bersih Gamuda Bhd pada suku pertama berakhir 31 Oktober 2017 (suku pertama tahun kewangan 2018) naik 25 peratus kepada RM203 juta berbanding RM162 juta dalam suku yang sama setahun lalu.

Sebahagian besar kenaikan itu disebabkan kemajuan kerja pelbagai projek pembinaan kumpulan di samping jualan hartanah di seberang laut dan beberapa projek hartanah baharu di Malaysia, kata Gamuda dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Pendapatan untuk suku tersebut berkembang kepada RM771.823 juta berbanding RM504.881 juta dalam tempoh sama sebelum ini.

Kumpulan itu menjangka prestasi yang lebih baik tahun ini ketika kemajuan Laluan 2 Transit Aliran Massa Lembah Klang meningkat, di samping jualan hartanah yang lebih kukuh di seberang laut dan juga Malaysia serta sumbangan pendapatan yang stabil dari bahagian lebuh raya.

-- BERNAMA